![Image from: [VIDEO] Brek rosak, pemandu lori positif dadah punca rempuh 11 kenderaan](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/brek-rosak-lori-1024x547.jpeg)
SHAH ALAM – Masalah brek ketika menuruni bukit menjadi punca sebuah lori melawan arus sehingga merempuh 11 buah kenderaan dalam kejadian di lampu isyarat simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam.
Lebih mengejutkan, pemandu lori berusia 51 tahun itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, empat individu berusia 17 hingga 58 tahun cedera, termasuk seorang lelaki yang parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kemalangan berlaku ketika lori berkenaan menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam.
Menurutnya, pemandu lori mendakwa mengalami masalah brek sebelum kenderaan berat itu hilang kawalan dan terbabas ke arah bertentangan dan merempuh 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.
““Seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru XV mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM)Puncak Alam.
“Isterinya berusia 53 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan serta cucu lelaki mereka berusia 17 tahun turut cedera, namun kedua-duanya dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu pemandu Perodua Myvi berusia 29 tahun mengalami kecederaan pada badan dan berada dalam keadaan stabil.
Sarudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori mendapati lelaki warga tempatan itu positif amphetamine dan methamphetamine.
Pemandu berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat pagi ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping, di talian 012-286 3875 bagi membantu siasatan..
Kosmo! semalam melaporkan empat individu cedera termasuk seorang parah selepas sebuah lori 10 tan yang dipandu melawan arus merempuh 10 buah kenderaan dengan insiden itu tukar menerusi video berdurasi 26 saat. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Brek rosak, pemandu lori positif dadah punca rempuh 11 kenderaan appeared first on Kosmo Online.






