
SHAH ALAM: Pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini semalam, didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.
Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.
“Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.
“Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu lori dan mendapati positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarudin berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV cedera parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.
Katanya, isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu mereka, remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama, juga menerima rawatan di hospital berkenaan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.
Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera pada badan dan turut dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-286 3875 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Media melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan berkenaan.
The post Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine appeared first on Utusan Malaysia.






