
KENINGAU: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas lori simen dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Jalan Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 mengenai kejadian 7.02 pagi itu, sebelum mengerahkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi sejauh 8km dari balai.
Apabila tiba pada 7.10 pagi, pasukan mendapati lori simen berkenaan terbalik di bahu jalan, dengan mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan.
Operasi mengesan dan mengeluarkan mangsa dijalankan, dengan sebuah lori kren tiba pada 10.34 pagi untuk mengangkat lori simen tersebut bagi memudahkan operasi menyelamat.
Mangsa ditemui pada 10.38 pagi sebelum pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematiannya di lokasi.
Mangsa merupakan warganegara Malaysia, namun identitinya belum dikenal pasti.
Pada Jumaat, tujuh mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Binaong.
Dalam kejadian kira-kira 7.16 malam itu, kenderaan terbabit ialah Perodua Kancil, Toyota Fortuner dan Mazda.
PGO Sabah menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada 7.16 malam sebelum sembilan anggota BBP Keningau dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 7.25 malam, kira-kira 10 kilometer dari balai.
Dua mangsa berada dalam Mazda, masing-masing lelaki berusia 60 tahun yang mengalami strok ringan dan wanita berusia 37 tahun yang mengalami kecederaan pada bahu. Mangsa lelaki dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum dihantar ke hospital dengan EMRS.
Empat mangsa dalam Perodua Kancil terdiri daripada lelaki berusia 36 tahun, wanita berusia 35 tahun, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun. Kesemua mereka dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Seorang lagi mangsa dalam Toyota Fortuner turut dihantar ke hospital oleh orang awam. Maklumat lanjut mengenai mangsa berkenaan tidak diperoleh.
Selepas memastikan lokasi selamat dan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8 malam.






