Pemandu lori telur tersepit, langgar belakang lori muatan tar

15 May 2026 • 10:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu lori telur tersepit, langgar belakang lori muatan tar
Bomba membantu menyelamat pemandu lori yang tersepit dalam di Kilometer 202 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi Jumaat.

MELAKA - Seorang pemandu lori telur menahan kesakitan akibat tersepit dalam kenderaan itu selepas melanggar sebuah lori lain di Kilometer 202 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, lori jenis Isuzu lima tan itu dipercayai melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan UD 14 tan yang membawa muatan tar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 10 anggota bersama tiga jentera termasuk FRT, EMRS dan RIM dikejarkan ke lokasi yang terletak 12 kilometer dari balai.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori bonded jenis Isuzu lima tan membawa muatan telur yang melanggar belakang sebuah lori Nissan UD 14 tan membawa muatan tar.

“Terdapat seorang lelaki Melayu berusia 23 tahun tersepit di bahagian pemandu lori muatan telur manakala seorang lagi lelaki berusia 31 tahun pada bahagian penumpang mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki berusia 53 tahun yang telribat dalam insiden itu dilaporkan selamat.

Katanya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans EMRS dan ambulans St John untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut dibantu pihak polis dan ambulans St John itu tamat sepenuhnya pada jam 3.57 pagi.