Empat sekeluarga termasuk bayi maut, pikap rempuh treler

24 Oct 2026 • 11:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Empat sekeluarga termasuk bayi maut, pikap rempuh treler

BATU PAHAT – Empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan bayi lelaki berusia sembilan bulan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.19 petang itu, kenderaan jenis Ford Ranger dinaiki enam individu dipercayai merempuh belakang lori treler jenis Scania yang diletakkan di tepi jalan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Hafiz Mohd Shahid berkata, empat mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita warga emas, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang bayi berusia sembilan bulan.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang turut berada dalam Ford Ranger itu cedera, manakala seorang lagi mangsa telah dibawa ke hospital oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan anggota bomba.

“Kemalangan turut melibatkan sebuah kereta Toyota Vios yang dinaiki dua individu, masing-masing lelaki berusia 70 tahun dan wanita berusia 35 tahun. Kedua-duanya dilaporkan cedera,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pemandu lori treler berkenaan dilaporkan selamat.

Jelasnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.19 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh tiba di lokasi pada pukul 5.58 petang.

Menurutnya, kesemua mangsa telah dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan tiada mangsa yang tersepit.

Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa serta menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan sebelum menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan tujuh anggota dengan sebuah jentera itu tamat pada pukul 6.11 petang.

Punca sebenar kemalangan masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.-KOSMO! ONLINE

The post Empat sekeluarga termasuk bayi maut, pikap rempuh treler appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved