Pemandu maut, kereta langgar treler parkir di bahu jalan

13 Nov 2026 • 1:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu maut, kereta langgar treler parkir di bahu jalan
Pemandu kereta maut selepas kenderaan dinaiki melanggar treler yang diparkir di bahu jalan di Kilometer 55, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat.

TAPAH – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya melanggar sebuah treler yang diparkir di bahu jalan di Kilometer 55, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun yang memandu kereta dari arah Temoh menghala ke Tapah dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian tayar penggerak utama sebelah kanan treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam sebelum siasatan awal mendapati treler berkenaan sedang diparkir di bahu kiri jalan tidak berturap menghala ke Tapah.

Menurutnya, pemandu treler berusia 39 tahun tidak berada di lokasi kejadian ketika kemalangan berlaku kerana kenderaan berat itu diparkir berhampiran tempat kerjanya.

"Akibat kemalangan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala treler berkenaan rosak pada bahagian tayar penggerak utama sebelah kanan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tapah menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan oleh pegawai perubatan bertugas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Malik berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved