
ISKANDAR PUTERI: Seorang pemandu kereta Porsche yang bertindak memandu melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya di Kilometer 6.5, Jalan Ismail Sultan, di sini, baru-baru ini tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya@Yahaya berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Polis mengesan rakaman berkenaan yang tular di media sosial, sebelum pemandu kenderaan terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun tampil menyerah diri.
“Ujian saringan air kencing turut dijalankan terhadap lelaki berkenaan dan keputusannya negatif,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 12 saat itu memaparkan kereta Porsche berwarna putih dipandu secara berbahaya ketika melalui sekatan jalan raya yang sedang dijalankan.-UTUSAN
The post Pemandu Porsche lawan arus elak sekatan jalan raya serah diri appeared first on Utusan Malaysia.






