
ISKANDAR PUTERI – Tindakan nekad seorang pemandu kereta Porsche memandu melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya di Kilometer 6.5, Jalan Ismail Sultan, di sini, baru-baru ini mengundang padah apabila dia tampil menyerah diri kepada polis semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Pemangku Superintendan Saifullah Jaya@Yahaya berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.
Menurut beliau, susulan kejadian itu, pemandu kereta Porsche berwarna putih berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 43 tahun tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk memberi keterangan.
“Ujian saringan air kencing turut dijalankan terhadap lelaki berkenaan dan keputusannya didapati negatif.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, video yang tular itu memaparkan sebuah kereta Porsche berwarna putih dipandu secara berbahaya dengan melawan arus ketika melalui sekatan jalan raya yang sedang dijalankan.
Saifullah berkata, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
“Selain itu, lesen memandu juga boleh digantung untuk tempoh minimum lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memandu secara melulu dan berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Porsche lawan arus rupanya elak sekatan jalan raya appeared first on Kosmo Online.





