
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun disahkan positif empat jenis dadah selepas terbabit dalam nahas bersama tiga kenderaan lain.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 petang kelmarin di Jalan Kampung Bandar Dalam.
Menurutnya, kejadian itu kemudiannya tular di Threads, menyebabkan pihaknya mengesan semua kenderaan yang terbabit.
“Kesemua pemandu kenderaan diminta hadir ke balai polis bagi membuat laporan.
“Siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 30 tahun yang memandu Honda Civic hilang kawalan sebelum melanggar tiga kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga kenderaan yang dilanggar ialah Proton Saga dipandu lelaki warga Algeria berusia 46 tahun, Nissan Almera yang dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun dan sebuah lagi Honda Civic dipandu wanita tempatan berusia 51 tahun.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu Honda Civic berkenaan hadir ke balai polis dan membuat laporan pada jam 10.39 malam kelmarin.
“Ujian pernafasan mendapati dia negatif alkohol.
“Bagaimanapun, saringan air kencing yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mendapati pemandu berkenaan positif benzodiazepin, methamphetamine, ketamin dan amphetamine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 16 September 2026






