‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’

16 Sep 2026 • 11:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’

JITRA – “Tolonglah jangan tangkap saya, esok saya dah janji dengan isteri dan anak-anak nak keluar jalan-jalan. Saya janji selepas ini saya akan berubah, saya dah insaf.”

Demikian rayu seorang pemandu lori simen berusia 43 tahun yang ditahan selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra arah selatan di sini, malam tadi.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia dalam perjalanan menghantar serbuk simen dari Perlis ke Perak sebelum ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di plaza tol tersebut.

“Saya ambil dadah bila badan rasa letih sangat, nak bagi bertenaga. Saya mengaku saya tersilap, saya tak tak akan buat dah. Isteri saya mesti marah sebab dia tak tahu saya ambil (dadah). Esok pula saya dah janji nak bawa isteri dan anak-anak mandi kolam dan jalan-jalan di Pulau Pinang, tolonglah encik jangan tangkap saya,” rayunya lagi kepada pihak AADK dan JPJ.

Lelaki yang tinggal di Pendang itu mengakui telah mengambil dadah jenis methamphetamine sejak kira-kira 15 tahun lalu ketika bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah ditangkap sebelum ini.

“Saya cuba berhenti dan pernah tahan ketagihan sehingga dua minggu, memang boleh tahan tetapi tiga hari pertama itu badan jadi lemah dan lambat pick up,” dakwanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu yang didapati positif dalam saringan dadah dan dikenakan tindakan oleh AADK turut berdepan tindakan pentadbiran JPJ mengikut peruntukan yang sedang berkuat kuasa.

“Antara tindakan yang akan diambil adalah Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional akan ditahan sehingga siasatan serta tindakan oleh pihak AADK selesai.

“Lesen Vokasional juga akan digantung selama tempoh tiga bulan, tertakluk kepada peruntukan dan ketetapan yang berkuat kuasa. Tindakan ini membuktikan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang mengambil risiko memandu selepas mengambil atau menyalahgunakan dadah,” katanya.

Tambahnya, dalam operasi bersepadu itu yang antaranya turut melibatkan polis, pihak konsesi lebuh raya, dan Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 123 pemandu kenderaan telah diperiksa sejak 1 Julai lalu dengan enam daripadanya dikenakan tindakan, termasuk penggantungan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

“Kita ingin menyeru kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Jangan sesekali memandu sekiranya berada di bawah pengaruh dadah, alkohol atau sebarang bahan yang boleh menjejaskan keupayaan untuk mengawal kenderaan.

“Kenderaan perdagangan adalah kenderaan berat dan besar. Kesilapan kecil boleh membawa kepada akibat yang besar, termasuk kehilangan nyawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Tolong jangan tangkap saya, esok nak bawa isteri, anak jalan-jalan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved