
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas empat pertuduhan, termasuk dua pertuduhan membunuh melibatkan kematian dua pelajar perempuan dalam nahas jalan raya berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia pada Ahad lalu.
Tertuduh, Alex Robert, 28, didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, kira-kira jam 6.35 petang pada 26 Julai lalu di Jalan Padang Tembak, berhampiran sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan membunuh itu kerana kes yang melibatkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Selain itu, tertuduh yang bekerja di Singapura turut didakwa memandu sebuah Honda Civic di bawah pengaruh dadah sehingga gagal mengawal kenderaan dengan sempurna, menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Adam Arjuna Abdullah, cedera dalam kejadian di lokasi dan waktu sama.
Pertuduhan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 43(1) akta sama kerana memandu tanpa cermat dan perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan pelanggaran melibatkan seorang lelaki, A. Suresh, 50.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 44(1A)(a), tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, dia berdepan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, selain kesalahan itu akan direkodkan pada lesen memandunya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Izzuddin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi, manakala tertuduh diwakili peguam Koh Shean Wai.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta dokumen berkaitan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes. - Getaran, 30 Julai 2026






