
KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pemandu kereta disyaki terlibat dalam kemalangan mengorbankan tiga beranak di Hulu Langat, Selangor semalam direman empat hari hingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek lelaki berusia 42 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 2 Ogos," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Semalam, Naazron memaklumkan tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat.
Dalam kejadian pada 7.56 pagi itu, beliau berkata kesemua mangsa terdiri daripada seorang mekanik berusia 34 tahun, isterinya, 32, dan anak lelaki mereka berumur tiga tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata polis menahan pemandu kereta terbabit selepas lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.





