
GEORGE TOWN – Dua rakan terdiri lelaki dan wanita dilaporkan maut apabila motosikal yang mereka tunggang dipercayai dirempuh dari arah belakang dalam kejadian langgar lari di susur masuk Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang masing-masing berusia 22 dan 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, kira-kira pukul 4 pagi.
Kedua-dua mangsa dikatakan berasal dari Padang Serai di Kedah dan semasa kejadian mereka dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke jambatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kemalangan maut pada pukul 4.30 pagi tadi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian motosikal mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan tidak pasti di susur bercabang ke Jambatan Pulau Pinang/Universiti Sains Malaysia (USM).
“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk diedah siasat,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, punca kejadian disyaki disebabkan oleh sebuah kenderaan tidak pasti yang telah melanggar bahagian belakang motosikal mangsa dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Tambahnya, kes disiasat di bawah 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin di talian 019-6886106. -KOSMO! ONLINE
The post Dua rakan maut dalam kejadian langgar lari appeared first on Kosmo Online.






