
Kota Kinabalu: Kerja pemasangan jambatan Bailey di lokasi jambatan yang rosak di Kilometer 2.85, Jalan Tun Fuad Stephens (Tanjung Lipat) sedang giat dijalankan.
Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (gambar) berkata jambatan sementara itu dipasang menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai langkah segera untuk memulihkan akses jalan raya“Langkah segera ini bertujuan memulihkan akses dan memastikan pengguna jalan raya dapat bergerak dengan lebih lancar, selesa dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau jambatan sementara itu akan terus digunakan sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
Joachim berkata berdasarkan perkembangan semasa di tapak projek, pemasangan jambatan Bailey dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan.
“Tempoh itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi,” katanya.
Beliau turut menggesa pengguna jalan raya supaya bersabar dan mematuhi semua arahan lalu lintas serta papan tanda keselamatan sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.
Katanya, segala usaha akan dilakukan bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat disiapkan secepat mungkin demi kepentingan keselamatan awam.
“Kerajaan juga memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh orang ramai,” katanya.






