Pembatalan Pelantikan Exco N9 Oleh Tuanku Muhriz Sah, Kenyataan Ismail Lasim Tidak Ada Kesan – Peguam

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 3:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Pembatalan Pelantikan Exco N9 Oleh Tuanku Muhriz Sah, Kenyataan Ismail Lasim Tidak Ada Kesan – Peguam

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pembatalan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) seperti yang dititah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada malam Ahad, 20 September adalah sah dan berkuat-kuasa sepenuhnya.

Menurut peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff tindakan itu diambil dan dirujuk bawah Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Kenyataan Dikeluarkan Ismail Lasim Tak Beri Kesan Kepada Pembatalan Exco N9 Oleh Tuanku Muhriz – Peguam

Jelas beliau, kenyataan yang dikeluarkan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan peguam yang mendakwa bahawa pembatalan Exco negeri tersebut tidak sah serta tidak memberi sebarang kesan terhadap kesahan titah Yang di-Pertuan Besar dari sudut undang-undang.

“Menteri Besar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos 2026. Kesemua 10 Exco pula mengangkat sumpah di hadapan baginda pada 7 Ogos 2026. Pelantikan mereka datang daripada perkenan baginda.

“Proklamasi yang didakwa menurunkan baginda bertarikh 19 April kekal tidak sah dan kekal Yang di-Pertuan Besar. Pendirian ini ditetapkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September dan dinyatakan kamar Jabatan Peguam Negara pada 17 September 2026.

“Dalam keadaan ini, mana-mana Exco yang bertindak menyokong proklamasi tersebut telah bertindak terhadap (derhaka kepada) Yang di-Pertuan Besar yang melantik mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook.

Exco Tak Boleh Pegang Jawatan Dalam Masa Sama Sokong Dokumen Penurunan Takhta Tuanku Muhriz – Peguam

Justeru jelasnya, ahli-ahli MMKN terbabit tidak boleh kekal dalam Majlis Kerajaan Negeri yang mana mereka tidak boleh berlindung dengan pelantikan oleh baginda dalam masa yang sama menyokong dokumen menurun takhta baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Exco Selain MB Pegang Jawatan Selama Mana Diperkenan Yang di-Pertuan Besar – Muhammad Hariz

Muhammad Hariz Md Yusoff yang juga peguam kepada Undang Luak Rembau menegaskan bahawa ahli MMKN (Exco) selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar.

Tambahnya, peruntukan nyata tersebut tidak menyebut selama diperkenan oleh Menteri Besar.

Beliau turut mendakwa peruntukan berkenaan tidak sama dengan peruntukan lain dalam UUTKNS yang dengan jelas memerlukan nasihat Menteri Besar.

“Dengan mengikut syarat-syarat ceraian (4), seseorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan selain daripada Menteri Besar adalah memegang jawatannya selama yang diperkenankan oleh Raja, melainkan pelantikan seseorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan itu telah dibatalkan oleh Raja atas nasihat Menteri Besar, tetapi siapa-siapa juga ahli Majlis itu bolehlah meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.

“Penggubal UUTKNS sememangnya mempunyai hikmah dalam cara mensyaratkan nasihat Menteri Besar apabila nasihat MB itu dikehendaki. Perkara 38(2)(b) menyatakan bahawa pelantikan ahli MMKN dibuat ‘on the advice of the Menteri Besar’.

“Perkara 39a(2)(c) pula menyatakan bahawa Setiausaha Politik kekal sehingga pelantikannya ‘determined by the Menteri Besar’. Bagi tempoh jawatan ahli MMKN, perkataan yang dipilih ialah ‘at the Ruler’s pleasure‘. Perkataan yang berbeza membawa makna yang berbeza.”

3 Situasi Yang Boleh Membatalkan Lantikan Exco

Menurut Muhammad Hariz lagi, pembatalan lantikan ahli MMKN boleh berlaku dalam tiga keadaan iaitu:

  1. Yang di-Pertuan Besar menarik perkenan baginda (klausa pertama);
  2. Yang di-Pertuan Besar membatalkan pelantikan atas nasihat Menteri Besar (klausa kedua); dan/atau
  3. Ahli Majlis itu meletakkan jawatannya sendiri pada bila-bila masa.

MB Diseru Memberi Senarai Exco Baharu Seperti Titah Tuanku Muhriz

Tambahnya, titah Tuanku Muhriz sebelum ini tidak ada menyebut tentang jawatan Menteri Besar. Sebaliknya, baginda hanya menitahkan Ismail Lasim supaya mengemukakan senarai calon Exco baharu menurut Perkara 38(2).

“Menteri Besar adalah diseru menjunjung Titah Baginda. Titah Baginda kekal berkuat kuasa menzahirkan individu-individu yang pelantikannya telah dibatalkan tidak lagi memegang jawatan Ahli MMKN. Mana-mana keputusan yang dibuat atas nama jawatan itu selepas 20 September 2026 terdedah kepada cabaran undang-undang.”

Keengganan MB Kemuka Senarai Exco Baharu Adalah Perkara Serius – Peguam

Jelasnya, keengganan Menteri Besar mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk perkenan Tuanku Muhriz boleh dilihat sebagai keengganan mematuhi keputusan dan arahan baginda serta suatu tindakan yang serius terhadap hubungan perlembagaan antara Menteri Besar dengan Yang di-Pertuan Besar.

Baca Artikel Berkaitan: Tuanku Muhriz Ingatkan Exco Negeri Sembilan Jangan Salah Guna Kuasa

Peguam Undang Yang Empat Sebelum Ini Dakwa Pemecatan Exco Tidak Sah

Sebelum ini, peguam bagi Undang Yang Empat, Emirul Sarifudin Nor Azmi mendakwa pemecatan anggota Exco Negeri Sembilan adalah salah, tidak mengikut perlembagaan dan juga tidak sah.

Katanya, Perkara 38(5) tidak memberikan hak secara mutlak kepada Yang di-Pertuan Besar untuk memecat mana-mana anggota Exco melainkan atas nasihat Menteri Besar.

Pada malam Ahad lalu (20 September), Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan tersebut diambil selepas kesemua EXCO terbabit didapati telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Tuanku Muhriz Batal Pelantikan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan

Bagaimanapun, Ismail Lasim semalam (21 September) memaklumkan Exco sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah merupakan satu kehilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang.

Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Tamat Pelantikan EXCO N9 Tanpa Nasihat MB Tidak Berperlembagaan, EXCO Jalan Tugas Seperti Biasa – Ismail Lasim

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved