
KUALA LUMPUR – Hampir 40 peratus daripada keseluruhan 40,000 tan metrik sisa pepejal yang dijana di negara ini setiap hari adalah sisa makanan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata usaha untuk menangani isu pembaziran itu memerlukan kerjasama semua pihak melalui pendekatan seluruh masyarakat, termasuk pengusaha dan pengguna, untuk bersama-sama mengubah sikap serta amalan masing-masing.
“Ini satu pembaziran. Pembaziran makanan bukan satu jenayah, tetapi satu dosa. Satu dosa yang besar apabila makanan yang boleh dimakan dibuang begitu sahaja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Nga berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai perkembangan terkini usaha untuk mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan serta meningkatkakn kadar kitar semula.
Dalam pada itu, beliau berkata kementerian yakin untuk mencapai sasaran kitar semula melebihi 40 peratus menjelang akhir tahun ini.
Nga berkata di bawah program kitar semula Trash to Cash dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas, kutipan jumlah bahan kitar semula melebihi 7.86 juta kilogram (kg) dengan nilai jualan bahan kitar semula melebihi RM 2.85 juta.
“Kedua, komuniti sifar sisa dengan inisiatif penubuhan 17 pusat komuniti sifar sisa yang aktif beroperasi bagi tempoh sama, telah memperoleh kutipan barang kitar semula melebihi 111,504 kg,” katanya.
Selain itu, Nga berkata pertandingan kitar semula di sekolah-sekolah melibatkan penyertaan 1,680 sekolah berjaya mengutip 4.95 juta kilogram bahan kitar semula yang berjaya dijual dengan nilai RM2.98 juta.
“Maka kiraannya jumlah kita kumpulkan dari 2018 hingga tahun lepas, kita berjaya kutip hampir 20 juta kilogram barangan kitar semula dan dijual untuk meraih kutipan melebihi RM10.22 juta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Mumtaz mengenai bentuk kawalan dan tindakan pelaksanaan spesifik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan kes kecurian kabel, termasuk hukuman dikenakan kepada pihak ketiga atau pembeli, beliau berkata Jemaah Menteri memandang serius isu berkenaan.
“Kita sentiasa bekerjasama dan berinteraksi dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuklah meneliti keperluan untuk kita meminda undang-undang berkaitan dalam memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah kes curi kabel di negara ini.
“Sudah beberapa kali terjadi LRT (Transit Aliran Ringan) tidak dapat beroperasi akibat kehilangan kabel dicuri oleh sindiket, jadi perkara ini (pindaan hukuman lebih berat) penting untuk pastikan kita terus menjaga keselamatan awam dan juga kesejahteraan rakyat,” katanya. – Bernama
The post Pembaziran makanan berlaku setiap hari appeared first on Kosmo Online.






