
KUALA LUMPUR – Sebanyak 200,000 orang disasar menyertai Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 di seluruh negara, dengan jangkaan pengumpulan barang kitar semula sebanyak 28,000 kilogram (kg) dalam sehari.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sasaran itu ditetapkan bagi meneruskan momentum sambutan HCM yang semakin mendapat sambutan sejak diperkenalkan pada 2024.
“Sasaran ini bukan sekadar mengejar rekod, tetapi sebenarnya ia mencerminkan keluasan penyertaan rakyat dan kekuatan gerakan kebersihan yang kita bina bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan HCM 2026 di Pasar Taman Sri Gombak di sini hari ini.
Beliau berkata setakat 9 pagi ini, pendaftaran dalam talian bagi program berkenaan telah melebihi 95,000 orang tidak termasuk pelajar sekolah yang turut mengambil bahagian, melibatkan 469 lokasi di seluruh negara.
Nga berkata pada 2024, HCM mencatat tiga rekod Malaysia Book of Records termasuk penyertaan serentak paling ramai iaitu 58,007 orang, kutipan sisa sebanyak 4,645 kilogram dalam sehari serta operasi tanpa henti dari 8 pagi hingga 8 malam.
“Tahun lepas pula, HCM mencipta sejarah lagi dengan kejayaan merekodkan penyertaan serentak lebih 100,000 orang pada waktu yang sama, serta pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak dunia iaitu lebih 27,600 kg dalam sehari,” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat pertama kali menjadi rakan strategik Hari Cuci Malaysia tahun ini, dengan penyertaan 10,000 sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata aktiviti HCM turut diiktiraf KPM sebagai Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), sekali gus menggalakkan lebih ramai generasi muda terlibat dalam usaha membudayakan kebersihan.
Kerajaan katanya turut memperkukuh agenda pengurusan sisa pepejal melalui pendekatan 9R iaitu Refuse (menolak), Rethink (fikir semula), Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula), Repair (perbaiki), Refurbish (baik pulih), Remanufacture (buat semula), Repurpose (guna tujuan lain), Recycle (kitar semula) dan Recover (pemulihan).
Nga berkata usaha membudayakan kebersihan perlu bermula sejak di bangku sekolah bagi memastikan penggunaan sumber dilakukan secara bertanggungjawab. – Bernama
The post Hari Cuci Malaysia sasar kutip 28,000 kg barang kitar semula appeared first on Kosmo Online.





