
PETALING JAYA: West Coast Expressway (WCE) menggunakan pendekatan komunikasi jenama yang mengetengahkan dua elemen penting dalam identiti rakyat Malaysia sempena menyambut Hari Malaysia 2026, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian dan kecintaan terhadap makanan.
WCE berkata, syarikat itu menerbitkan dua komunikasi pada waktu berbeza sepanjang sambutan Hari Malaysia bagi membawa mesej yang saling melengkapi berbeza daripada sambutan yang sekadar menyampaikan ucapan perayaan,
Menurutnya, komunikasi pertama diterbitkan pada tengah malam ketika Hari Malaysia bermula dengan membawa mesej, “Kepelbagaian membentuk identiti kita. Perpaduan menguatkan kita.”
“Mesej itu meraikan kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan Malaysia, selain mengingatkan bahawa di sebalik perbezaan tersebut, rakyat berkongsi tanah air dan aspirasi yang sama untuk negara.
“Komunikasi kedua pula diterbitkan sekitar waktu makan tengah hari dengan mengetengahkan makanan sebagai elemen yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia dan mampu menjadi penghubung sejagat.
“Warisan kulinari Malaysia sejak sekian lama merentasi batas etnik, usia dan latar belakang, manakala meja makan yang dikongsi bersama mampu mendekatkan individu yang mempunyai bahasa, tradisi dan pengalaman berbeza,” katanya dalam kenyataan.
WCE mengaitkan pendekatan itu dengan aspirasi jenamanya, “We Connect Everyone” yang menurut syarikat itu mencerminkan peranan lebuh raya bukan sekadar sebagai infrastruktur fizikal.
Menurut WCE, jalan raya turut menghubungkan manusia dengan keluarga, komuniti dengan peluang, perniagaan dengan pasaran serta pelancong dengan budaya dan pengalaman yang ditemui sepanjang perjalanan.
“Lebuh raya yang merentasi pantai barat Semenanjung Malaysia itu berkhidmat kepada komuniti di sepanjang jajaran, selain menyokong akses, aktiviti ekonomi tempatan serta hubungan antara bandar, destinasi dan komuniti.
“Kedua-dua komunikasi itu dirancang untuk saling melengkapi, dengan mesej tengah malam mengetengahkan nilai nasional seperti perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati, manakala kreativiti waktu makan tengah hari membawa nilai berkenaan lebih dekat dengan kehidupan seharian menerusi makanan,” ujarnya.
Inisiatif berkenaan dibangunkan oleh pasukan Strategic Communications & Stakeholder Engagement WCE, dengan pelaksanaan kreatif diketuai anggota pasukan, Helwo Shwan, sebelum mendapat kelulusan Ketua Pegawai Eksekutif WCE.
Syarikat itu berkata, kempen itu menunjukkan pendekatan komunikasi korporat sempena perayaan yang tidak hanya tertumpu kepada ucapan, sebaliknya turut mengetengahkan nilai yang berkait rapat dengan identiti dan kehidupan masyarakat.
“Sempena sambutan Hari Malaysia ke-63, infrastruktur mempunyai peranan dalam mengukuhkan hubungan yang menjadi asas kepada pembangunan negara dari aspek ekonomi dan sosial, termasuk hubungan sesama manusia.
“Kempen berkenaan turut mencerminkan perkembangan WCE daripada persepsi sebagai syarikat yang tertumpu kepada infrastruktur lebuh raya kepada jenama yang mengetengahkan aspek hubungan, kebolehcapaian dan komuniti,” katanya. – UTUSAN
The post WCE tampil pendekatan komunikasi berbeza sempena Hari Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






