Pembeli PacifiCity Likas rayu bantuan kerajaan

3 Oct 2025 • 3:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pembeli projek terbengkalai PacifiCity di Likas masih berharap agar Kerajaan Negeri dapat membantu mereka.

Jurucakap pembeli Dato’ Seri Winston Liaw (gambar) percaya kerajaan mempunyai keazaman untuk menyelesaikan masalah berlarutan itu, mungkin dengan merangka pelan strategik seperti pertukaran tanah dengan “penyelamat”.

Liaw membuat gesaan itu selepas pertemuan terbaru mereka dengan penyelesai dari Kuala Lumpur yang dihadiri seramai 126 pembeli.

Sebelum ini, pembeli mengadakan beberapa pertemuan dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) yang dipengerusikan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam namun masih belum ada penyelesaian, katanya.

Mengenai pertemuan mereka dengan penyelesai (liquidator), kira-kira 90 peratus pembeli bersetuju dengan cadangan bagi projek kondominium itu.

“Kami ditawarkan untuk menambah RM65 setiap kaki persegi atau kira-kira 10 peratus daripada harga belian.

“Tetapi isu utama ialah di bahagian komersial di mana mereka hanya menawarkan harga belian semula sebanyak 60 peratus daripada harga asal.

“Itu bermakna jika unit saya bernilai RM1 juta dan saya telah membayar RM200,000 atau RM300,000, saya masih perlu memindahkan aset saya kepada anda dan kemudian membayar lagi tambahan RM100,000,” katanya.

Beliau berkata projek kondominium 18 tingkat itu sebenarnya sudah siap tetapi kemudiannya dilaku musnah. Mereka dimaklumkan oleh penyelesai bahawa kos baik pulih adalah sekitar RM800,000.

Insiden laku musnah itu terjadi sebaik sahaja Bank Pembangunan Sabah (SDB) menyerahkan jaminan bank kepada KKTP untuk mendapatkan sijil layak menduduki (OC), katanya.

“Semua insiden ini menyebabkan beban kewangan yang tidak adil kepada pembeli sebelum projek itu diisytiharkan terbengkalai oleh KKTP,” katanya.

Beliau menambah projek kondominium itu mempunyai 204 unit, dengan 51 unit masih belum terjual, yang bermaksud ia merupakan aset kepada SDB.

“Tetapi menurut rekod penyelesai, jumlah unit tidak terjual hanyalah 42. Jadi, ke mana hilangnya sembilan unit yang lain?” soalnya.

“Kami mahu ketelusan termasuk pendedahan mengenai profil penyelamat (white knight) yang tidak didedahkan kepada persatuan pembeli,” kata Liaw.

Beliau berkata lebih 500 pembeli, termasuk warga asing, telah melabur dalam projek PacifiCity dan berharap kerajaan dapat campur tangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Jika tidak, katanya, Sabah akan terus dibelenggu dengan banyak projek terbengkalai termasuk PacifiCity, The Crown, Triconic, Sabah Energy dan beberapa lagi.