Kami laporkan minggu lalu isu kualiti pada Samsung Galaxy Buds3 Pro menyebabkan penghantaran produk kepada pembeli yang melakukan pratempahan akan mengalami kelewatan. Di Amerika Syarikat jualan juga telah digantung seketika.
Bahagian putik silikon pada Buds3 Pro mudah terkoyak walaupun baru dibeli serta isu kosmetik pada kemasan dikesan oleh pembeli-pembeli awal. Samsung Malaysia apabila dihubungi mengatakan produk masih akan dijual seperti biasa untuk pasaran tempatan.

Pagi ini kami menerima maklumat daripada pembaca kami @rahmansallehin yang menerima notifikasi Buds3 Pro yang diprapesan akan mengalami kelewatan. Pada asalnya produk dikatakan akan diterima pada 29 Julai tetapi kini akan hanya diterima pada 30 Ogos. Ini adalah tempoh penghantaran yang sama seperti yang diterima oleh pembeli Buds3 Pro di Amerika Syarikat.
Jelas terdapat isu pengeluaran dan impaknya adalah di peringkat global. Setakat ini hanya Buds3 Pro yang mengalami kelewatan sementara Buds3 biasa akan diterima pada tarikh yang dijanjikan.
