Pinjaman perniagaan melonjak 7.6%, pertumbuhan pembiayaan PKS perlahan kepada 2.4% - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 9:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pinjaman perniagaan melonjak 7.6%, pertumbuhan pembiayaan PKS perlahan kepada 2.4% - Penganalisis Image from: Pinjaman perniagaan melonjak 7.6%, pertumbuhan pembiayaan PKS perlahan kepada 2.4% - Penganalisis sarah02/11/2026 - 09:05 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Pertumbuhan pinjaman perniagaan Malaysia melonjak kepada 7.6% pada September 2026, namun pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus kehilangan momentum apabila pertumbuhannya menyederhana kepada hanya 2.4%, sekali gus memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara kedua-dua segmen.

 

Menurut MBSB Research, pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat daripada 6.8% pada Ogos, disokong aktiviti pembinaan dan pembangunan pusat data, sedangkan pertumbuhan pinjaman PKS perlahan daripada 2.6% dalam tempoh sama.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman keseluruhan sektor perbankan meningkat kepada 6.1% tahun ke tahun berbanding 5.7% pada Ogos, dengan pembiayaan bukan isi rumah berkembang lebih pantas kepada 7.7% daripada 6.8%.

 

"Pinjaman perniagaan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, disokong kitaran pembinaan dan pengumuman projek pusat data, manakala statistik perbankan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan momentum itu dijangka berterusan buat masa ini walaupun permintaan pinjaman pengguna semakin sederhana," menurut MBSB Research dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

BIMB Securities Research (BIMB Securities) turut berpandangan peningkatan pembiayaan korporat, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, menjadi pemacu utama pertumbuhan kredit, dengan pembiayaan modal kerja meningkat kepada 6.7% berbanding 5.3% pada bulan sebelumnya.

 

Pertumbuhan pembiayaan PKS terus menyederhana

Bagaimanapun, MBSB Research berkata, pertumbuhan pinjaman PKS menunjukkan trend penurunan ketara daripada 8.7% pada September 2025 kepada 2.4% pada September tahun ini, walaupun pembiayaan perniagaan keseluruhan terus berkembang.

 

Perkembangan itu menyaksikan jurang pertumbuhan antara pinjaman perniagaan dan PKS melebar kepada 5.2 mata peratusan pada September berbanding 4.2 mata peratusan pada Ogos, menunjukkan momentum pembiayaan yang tidak sekata antara kedua-dua segmen.

 

MBSB Research turut mengaitkan pertumbuhan pinjaman yang tinggi di Johor dengan kemungkinan pembiayaan projek pusat data, namun indikator permohonan dan kelulusan pinjaman PKS masih menunjukkan prestasi yang kukuh, sekali gus memberi gambaran bahawa kelembapan pertumbuhan pinjaman PKS tidak semestinya berpunca daripada kesukaran mendapatkan pembiayaan.

 

Persaingan deposit meningkat, risiko kecairan diberi perhatian

Dalam perkembangan berkaitan, MBSB Research berkata, pertumbuhan deposit termasuk urus niaga pembelian semula (repo) kekal pada 5.2%, namun pertumbuhan deposit tidak termasuk repo menyederhana kepada 3.7%, menyebabkan nisbah pinjaman kepada deposit meningkat kepada 94.6% berbanding 94% pada Ogos.

 

BIMB Securities pula melaporkan jurang kadar faedah bersih sektor perbankan melebar empat mata asas kepada 2.88% pada September, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar kekal sekitar 1.4%, menunjukkan kualiti aset bank masih stabil meskipun persaingan mendapatkan deposit semakin meningkat.

 

Kedua-dua firma penyelidikan mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan, dengan MBSB Research memilih Hong Leong Bank dan Public Bank sebagai saham utama pada harga sasaran masing-masing RM29.80 dan RM5.55, manakala BIMB Securities mengekalkan saranan beli terhadap MBSB pada nilai saksama RM0.65, walaupun risiko kenaikan hasil bon global dan konflik berpanjangan di Asia Barat terus membayangi prospek sektor itu.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved