Pembiayaan kekal kukuh, catat pertumbuhan dua digit

Business & Finance
10 Oct 2026 • 4:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembiayaan kekal kukuh, catat pertumbuhan dua digit

PERMINTAAN pembiayaan kekal kukuh dengan permohonan dan kelulusan pinjaman mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 10 peratus kepada RM975.7 bilion dan 14.7 peratus kepada RM517.4 bilion pada akhir Julai 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, peningkatan permintaan kredit adalah bagi tujuan modal kerja. 

Katanya, aktiviti pembayaran balik dalam sistem perbankan kembali meningkat sebanyak 3.6 peratus kepada RM1.28 trilion sejajar dengan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi sebanyak 4.3 peratus kepada RM1.34 trilion. 

“Segmen isi rumah merupakan bahagian terbesar daripada jumlah pinjaman sistem perbankan khususnya bagi pembelian harta tanah kediaman dan kereta penumpang.

“Pada akhir Julai 2026, permohonan pinjaman meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada RM507.6 bilion dengan kelulusan dan pengeluaran pinjaman kembali pulih sebanyak 1.9 peratus kepada RM221 bilion dan 3.3 peratus kepada RM303.6 bilion,” katanya.

Menurut laporan, prestasi pembayaran balik pinjaman meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada RM298.4 bilion selaras dengan pertumbuhan pendapatan yang stabil dan kapasiti pembayaran hutang oleh isi rumah. 

“Melangkah ke hadapan, pembiayaan isi rumah dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, perbelanjaan isi rumah yang berterusan serta langkah dasar berkaitan pendapatan termasuk pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Persekitaran pembiayaan kekal kondusif disokong oleh akses berterusan kepada pembiayaan, aliran kredit yang berdaya tahan serta sokongan dasar yang mampan,” ujarnya.

Menurutnya, aktiviti pembiayaan dalam segmen perniagaan kekal kukuh disokong oleh permintaan berterusan bagi pinjaman untuk tujuan modal kerja dan pelaburan pada akhir Julai 2026.

Jelasnya, permohonan pinjaman meningkat sebanyak 19.2 peratus kepada RM441 bilion, manakala kelulusan pinjaman mencatat pertumbuhan sebanyak 29.8 peratus kepada RM275.1 bilion mencerminkan keperluan pembiayaan yang lebih tinggi.

“Pengeluaran pinjaman kepada sektor perniagaan meningkat sebanyak 5.1 peratus kepada RM899.3 bilion dengan perusahan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi 35.1 peratus dalam tempoh tersebut. 

“Pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” jelasnya. – UTUSAN

The post Pembiayaan kekal kukuh, catat pertumbuhan dua digit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved