Pembiayaan RM100 juta tanam semula sawit hibrid manfaatkan 4,500 pekebun kecil - MPOB

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembiayaan RM100 juta tanam semula sawit hibrid manfaatkan 4,500 pekebun kecil - MPOB Image from: Pembiayaan RM100 juta tanam semula sawit hibrid manfaatkan 4,500 pekebun kecil - MPOB amree12/10/2026 - 11:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt — Pekebun kecil kelapa sawit bakal menerima sokongan pembiayaan RM100 juta bagi tanam semula sawit hibrid, selain peruntukan penyelenggaraan jalan ladang yang digandakan kepada RM100 juta di bawah Belanjawan 2027 bagi meningkatkan produktiviti operasi.

 

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Badrul Hisham Mohd menyambut baik langkah itu, termasuk penyediaan sebanyak RM30 juta bagi menangani isu perosak dan penyakit tanaman yang boleh menjejaskan hasil serta pendapatan ramai pekebun kecil komoditi.

 

Peruntukan tanam semula sawit hibrid itu ujar beliau, dijangka memberi manfaat kepada 4,500 pekebun kecil, dengan hanya 50% daripada pembiayaan perlu dibayar balik oleh penerima, tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan.

 

"Kerajaan turut menyediakan RM200 juta bagi skim pembiayaan mudah kepada pekebun kecil yang estet seluas hingga 40 hektar, dan bayaran balik ditangguh selama empat tahun dengan kadar faedah 4% ditanggung penerima, manakala baki oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan.

 

Sokongan terhadap pembiayaan tanam semula, jalan ladang dan kawalan penyakit jelas beliau, merupakan langkah penting untuk membantu pekebun kecil mengurus kebun dengan lebih berkesan, mengawal kos pengeluaran dan meningkatkan pendapatan dalam jangka panjang.

 

Sebanyak RM30 juta turut diperuntukkan untuk menangani ancaman seperti penyakit reput pangkal batang akibat kulat Ganoderma, ulat bungkus dan koya pada tanaman sawit, selain penyakit yang menjejaskan tanaman koko dan lada.

 

sawit_DagangNews2026

 

Pada masa sama tambah Badrul Hisham, bantuan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan disediakan kepada seramai 290,000 pekebun kecil serta pengusaha sektor pertanian dan komoditi, berdasarkan jumlah yang dilaporkan setakat September 2026.

 

"Dalam aspek kelestarian, kerajaan memperuntukkan RM15 juta daripada kutipan ses bagi pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan habitat spesies terancam, selain melanjutkan insentif cukai teknologi hijau hingga 31 Disember 2030 bagi menggalakkan pelaburan mampan," katanya.

 

Sektor pertanian turut mendapat sokongan melalui pembiayaan lebih RM1 bilion menerusi Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), manakala RM40 juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan produk bernilai tinggi menggunakan teknologi moden.

 

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengurangan kadar cukai pendapatan kepada 14% bagi pendapatan bercukai pertama RM150,000 dan 16% bagi pendapatan melebihi RM150,000 hingga RM600,000 dijangka memberikan manfaat tambahan sehingga RM6,000 kepada 300,000 PMKS.

 

Di samping itu, terdapat beberapa langkah lain jelas Badrul Hisham, termasuk pelanjutan Elaun Modal Dipercepat bagi loji, mesin dan peralatan teknologi maklumat sehingga akhir 2030.

 

"Kerajaan turut memperuntukkan RM1.26 bilion kepada FELDA bagi 2027 untuk memperkukuh kedudukan kewangan, menyelenggara jalan dan menyediakan perumahan bagi generasi baharu peneroka," tambah beliau.

 

MPOB ujarnya, menilai pelbagai inisiatif itu menyokong hala tuju PALMS 2030 yang menumpukan produktiviti, automasi, pengurangan karbon, kebolehpasaran dan kemampanan bagi memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved