Pembukaan pejabat baharu di UK tingkatkan daya saing Yes Group dengan penjimatan kos 10% – RHB Research

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 10:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembukaan pejabat baharu di UK tingkatkan daya saing Yes Group dengan penjimatan kos 10% – RHB Research Image from: Pembukaan pejabat baharu di UK tingkatkan daya saing Yes Group dengan penjimatan kos 10% – RHB Research liza13/11/2026 - 10:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Pembukaan pejabat serantau di United Kingdom (UK) bakal meningkatkan daya saing Yes Group Management Berhad dalam pasaran Eropah, selain menjana penjimatan kos operasi kira-kira 10% menerusi penyediaan perkhidmatan pengangkutan darat sendiri, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata kehadiran fizikal di UK dijangka meningkatkan imej jenama dan kedudukan pasaran Yes Group di Eropah, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat sebagai penyedia perkhidmatan khusus dalam industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

 

“Langkah itu juga membantu syarikat meningkatkan daya saing harga bagi mendapatkan lebih banyak kontrak perkhidmatan di destinasi Eropah, susulan permintaan berterusan pelanggan terhadap perjalanan insentif ke rantau berkenaan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Yes Group mempunyai buku tempahan bernilai kira-kira RM16 juta bagi perkhidmatan ke Eropah, bersamaan 47% daripada keseluruhan buku tempahan syarikat yang mencerminkan kepentingan pasaran itu kepada perniagaannya.

 

Menerusi pejabat serantau berkenaan, Yes Group merancang menyediakan perkhidmatan pengangkutan darat sendiri termasuk sewaan kenderaan persendirian yang akan mengurangkan kebergantungan kepada pengendali pihak ketiga.

 

Menurut RHB Research, langkah itu membolehkan kumpulan menghapuskan margin orang tengah dan meningkatkan kawalan langsung terhadap kos, dengan penjimatan operasi dianggarkan sekitar 10%.

 

RHB Research menganggarkan inisiatif berkenaan mempunyai tempoh pulangan pelaburan sekitar tiga tahun.

 

Bagi merealisasikan rancangan itu, Yes Group memperuntukkan RM6.5 juta daripada hasil IPO sebanyak RM16.5 juta untuk membuka pejabat serantau di UK serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah. Peruntukan itu merangkumi RM3.8 juta bagi pemerolehan kenderaan serta insurans dan cukai jalan, RM2.2 juta untuk pengambilan lapan kakitangan dan RM400,000 bagi perbelanjaan operasi pejabat.

 

Buku tempahan RM35 juta sokong prospek pendapatan

Secara keseluruhan, Yes Group mempunyai buku tempahan belum dilaksanakan kira-kira RM35 juta dan buku tender bernilai RM120 juta setakat LPD.

 

Dengan rekod kadar kejayaan mendapatkan tender sekitar 30%, RHB Research berpandangan kedudukan itu memberikan keterlihatan pendapatan yang munasabah kepada kumpulan sehingga FY2027.

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO Pasaran ACE: Yes Group meterai perjanjian taja jamin 31.8 juta saham baharu dengan Malacca Securities

 

Yes Group beroperasi menerusi jenama Yes Travel yang mengkhusus dalam penyediaan perjalanan insentif korporat, perancangan dan pengurusan acara serta penyelesaian berkaitan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

 

Bagi FY2026, perkhidmatan perjalanan insentif menyumbang 87% kepada hasil kumpulan, diikuti perancangan dan pengurusan acara sebanyak 12.8%, manakala perkhidmatan MM2H menyumbang baki 0.2%.

 

RHB Research turut berpandangan perbelanjaan korporat bagi aktiviti MICE mempunyai daya tahan relatif kerana syarikat lazimnya lebih cenderung menangguhkan acara perniagaan dan perjalanan insentif berbanding membatalkannya ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik.

 

RHB unjur keuntungan berkembang 14% setahun

Dari segi kewangan, RHB Research mengunjurkan keuntungan Yes Group mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 14% bagi tempoh FY2026 hingga FY2029, disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan MICE serta sumbangan daripada operasi di Eropah.

 

RHB Research mengunjurkan hasil kumpulan meningkat kepada RM110 juta pada FY2027 berbanding RM67 juta pada FY2026, sebelum meningkat kepada RM115 juta pada FY2028 dan RM121 juta pada FY2029.

 

Keuntungan bersih berulang pula dijangka meningkat daripada RM8 juta pada FY2026 kepada RM10 juta pada FY2027 dan FY2028, sebelum mencapai RM11 juta pada FY2029.

 

Bagi suku pertama FY2027, Yes Travel mencatatkan hasil RM27.4 juta, bersamaan kira-kira 41% daripada hasil keseluruhan FY2026, manakala keuntungan bersih teras berjumlah RM2.2 juta.

 

RHB Research berkata peningkatan hasil itu sebahagian besarnya disumbangkan projek bernilai kira-kira RM10 juta yang pada asalnya dijadualkan pada FY2026 tetapi ditangguhkan kepada FY2027. Bagaimanapun, margin bersih kumpulan susut tiga mata peratusan kepada kira-kira 8% berikutan perbelanjaan sekali sahaja berkaitan peruntukan saham awam IPO, sebelum dijangka kembali normal kepada sekitar 10%.

 

RHB Research menetapkan nilai saksama Yes Group pada 22 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada keuntungan (P/E) 11.2 kali unjuran keuntungan FY2028, iaitu 21.9% lebih tinggi berbanding harga IPO 18 sen.

 

Yes Group dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 November 2026 menerusi IPO yang menyasarkan kutipan RM16.5 juta. Daripada jumlah itu, RM6.5 juta diperuntukkan untuk operasi di Eropah, RM3 juta bagi penubuhan Yes Academy, RM3 juta untuk modal kerja dan baki RM4 juta bagi perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved