liza06/11/2026 - 10:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dijangka berdepan persekitaran operasi mencabar pada tahun kewangan 2027 (FY2027) susulan peningkatan kos input, persaingan sengit dalam pasaran pengguna serta ketidaktentuan geopolitik.
TA Research berkata kumpulan itu perlu memberi tumpuan kepada peningkatan kestabilan operasi, produktiviti dan kecekapan bagi menangani tekanan kos serta memastikan prestasi perniagaan terus berkembang.
Antara tumpuan utama F&N ialah operasi F&N AgriValley yang sedang meningkatkan skala pengeluarannya. Kumpulan itu dijangka terus memperbaiki kecekapan dan produktiviti operasi berkenaan seiring perkembangan aktiviti pengeluaran.
Langkah itu penting bagi memastikan operasi AgriValley mencapai kestabilan ketika kumpulan berdepan kos operasi yang meningkat.
Untung merosot pada FY26
Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (FY2026),F&N mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai sebanyak 14.4% kepada RM440.4 juta berbanding RM514.7 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan itu berlaku meskipun jumlah jualan kumpulan secara keseluruhan kekal stabil, berikutan peningkatan kos berkaitan pelaburan strategik, gangguan jualan ke Kemboja serta kesan turun naik mata wang asing.
Hasil kumpulan turut menyusut 5.3% kepada RM4.92 bilion daripada RM5.20 bilion pada FY2025, manakala keuntungan operasi turun 13.6% kepada RM644.2 juta berbanding RM745.5 juta sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan F&N merosot 14.4% pada FY2026 susulan kos pelaburan, gangguan jualan Kemboja
Gangguan jualan, kos lebih tinggi tekan perniagaan Kemboja
TA Research berkata, prestasi perniagaan di Kemboja turut menerima kesan daripada peningkatan perbelanjaan pelaburan perdagangan, kos pengangkutan dan pengedaran yang lebih tinggi serta kesan pertukaran mata wang susulan kelemahan Baht Thailand berbanding Ringgit.
“Kumpulan itu juga berdepan kos permulaan operasi kilang baharu di Kemboja, yang turut memberi tekanan kepada prestasi segmen berkenaan.
“Bagi menangani keadaan itu, F&N merancang meningkatkan pengeluaran secara berperingkat di kilang baharunya di Kemboja selain memperkukuh rangkaian pengedaran tempatan.
“Usaha berkenaan dijangka menyokong pemulihan prestasi perniagaan Indochina apabila kumpulan meningkatkan keupayaan pengeluaran dan memperluas capaian pengedarannya di pasaran tersebut,” kata TA Research dalam nota kajiannya.
Unjuran keuntungan FY2027 dikekalkan
Di peringkat kumpulan, persekitaran operasi turut dipengaruhi persaingan sengit dalam pasaran pengguna serta ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
TA Research berkata pihak pengurusan F&N menjangkakan cabaran berkenaan terus membayangi operasi kumpulan, justeru peningkatan produktiviti dan kecekapan menjadi antara keutamaan bagi mengurangkan tekanan terhadap perniagaan.
Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan F&N bagi FY2027 dan FY2028 masing-masing pada RM505.8 juta dan RM531.8 juta sementara menunggu maklumat lanjut daripada taklimat penganalisis kumpulan.
TA Research turut meletakkan harga sasaran saham F&N pada RM32.80 sesaham, dengan saranan BELI masih di bawah semakan. - DagangNews.com





