Pemegang saham Knusford mengundi kekalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Lembaga Pengarah

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 5:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemegang saham Knusford mengundi kekalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Lembaga Pengarah Image from: Pemegang saham Knusford mengundi kekalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Lembaga Pengarah amree10/09/2026 - 17:46 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept — Pemegang saham Knusford Berhad meluluskan pemilihan semula Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kekal dalam Lembaga Pengarah syarikat itu.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-30 kumpulan di EkoCheras Mall, Kuala Lumpur pada 10 September 2026 menyaksikan baginda memperoleh sokongan hampir 100%.

 

Resolusi pertama itu diluluskan melalui undian dengan 56 pemegang saham mewakili 99.9581% undi atau 57,994,194 saham menyokong berbanding hanya seorang dengan 24,301 saham yang menentang.

 

Tunku Ismail, 42, yang merupakan putera sulung Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mula dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas Knusford pada 21 Ogos 2013.

 

Pemilihan semula baginda dalam Lembaga Pengarah memperlihatkan kesinambungan penglibatan dalam tadbir urus syarikat, ketika kumpulan itu meneruskan agenda perniagaan dan pembangunan mampan.

 

Baginda dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor sejak 28 Januari 2024 berikutan pelantikan ayahandanya bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong XVII.

 

Knusford_DagangNews2026

 

Selain Tunku Ismail, pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula Lim Sew Hua sebagai Pengarah mengikut Klausa 76(3), dengan sokongan penuh 100% daripada 58,018,495 saham yang mengundi.

 

Menurut Knusford, Kang Hui Ling juga dipilih semula sebagai pengarah berdasarkan Klausa 78 Perlembagaan syarikat, dengan 99.9581% saham menyokong resolusi itu berbanding 0.0419% menentang.

 

Pemegang saham juga meluluskan bayaran yuran pengarah berjumlah RM259,842 bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, dengan kira-kira 99.9578% saham mengundi menyokong resolusi tersebut.

 

Selain itu, bayaran manfaat pengarah sehingga RM300,000 bagi tempoh dari AGM ke-30 sehingga AGM yang berikutnya turut diluluskan mereka dengan memberikan sokongan sebanyak 99.9573%.

 

Resolusi pelantikan semula KPMG PLT sebagai juruaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 serta memberi kuasa kepada Pengarah menetapkan imbuhan juruaudit turut diluluskan AGM tersebut.

 

Kesemua lapan resolusi yang dibentangkan diluluskan melalui undian pungutan suara, yang disahkan oleh Aegis Communication Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas yang dilantik syarikat. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved