amree10/09/2026 - 15:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept — Majoriti pemegang saham Pestech International Berhad meluluskan pemilihan semula Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Tidak Bebas.
Resolusi pemilihan semula beliau disokong menerusi proses pengundian dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-15 syarikat di Wisma Masyhur 2, Damansara Heights, Kuala Lumpur pada 9 September 2026.
Usul berkenaan menerima sokongan 67 pemegang saham mewakili 99.8612% daripada saham yang diundi, membabitkan 2.013 bilion saham menyokong berbanding lima lagi mewakili 2.80 juta saham menentang.
Mohd Zuki, 64, dilantik menjadi Pengerusi pada 18 Disember 2024, susulan perubahan kepimpinan kumpulan yang turut menyaksikan Datuk Mohamed Razeek Hussain dilantik sebagai Pengarah Urusan.
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran negara, termasuk pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-15, dari 2020 sebelum bersara wajib pada 2024.
Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pengarah Bebas SD Guthrie Berhad itu merupakan lepasan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Nanyang, Singapura

Pengalaman Mohd Zuki dalam tadbir urus korporat dilihat menjadi antara latar belakang penting dalam menerajui lembaga pengarah Pestech, khususnya pengukuhan operasi dan pertumbuhan perniagaan.
Selain usul tersebut, pemegang saham kumpulan berkenaan turut meluluskan pemilihan semula Datuk Seri Dr Subramaniam Pillai Sankaran Pillai dan Nazeera Alias sebagai anggota pengarah syarikat.
Majoriti daripada mereka juga meluluskan pelantikan semula Nexia SSY PLT sebagai juruaudit syarikat, selain memberi kuasa kepada lembaga pengarah kumpulan itu untuk menetapkan bayaran.
Dalam mesyuarat sama, usul pembayaran fi pengarah sehingga RM659,100 serta manfaat untuk pengarah sehingga RM187,200 bagi tempoh sehingga AGM yang berikutnya pada 2027 turut diluluskan mereka.
Kesemua sembilan resolusi dibentangkan diluluskan, termasuk kuasa menerbitkan saham, mandat pemegang saham bagi urus niaga pihak berkaitan berulang serta pelan pelaburan semula dividen. - DagangNews.com





