amree09/09/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Mycron Steel Berhad menerima kelulusan pemegang saham bagi pembelian hartanah perindustrian di Shah Alam daripada Melewar Industrial Group Berhad (MIGB) bernilai RM30 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata resolusi itu diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 8 September 2026 dengan 33 pemegang saham menyokong, manakala 17 menentang.
Pemerolehan itu dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Melewar Steel Tube Sdn Bhd (MST), bagi mengambil alih tanah industri pajakan yang menempatkan operasi pembuatan dan pejabat korporatnya.
"Hartanah di PN 121387, Lot 10461, Seksyen 15 itu berkeluasan 2.2 hektar, dengan bangunan kilang satu tingkat, ruang pejabat dan bangunan sokongan seluas 13,044 meter persegi," kata Mycron Steel.
Langkah itu dijangka membolehkan kumpulan memiliki premis untuk operasi, sekali gus memberikan syarikat berkenaan lebih fleksibiliti dalam merancang keperluan semasa dan pengembangan perniagaan.
Usaha itu membolehkannya mengurangkan kos sewaan RM2.1 juta setahun, selain mengurangkan pendedahan kepada kemungkinan kenaikan kadar sewa apabila tempoh pajakan yang sedia ada berakhir.

Transaksi ini merupakan urus niaga pihak berkaitan kerana MIGB merupakan pemegang saham utama Mycron Steel sebanyak 74.13%, manakala MST merupakan anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya.
"Cadangan pemerolehan berkenaan pada asalnya dimeterai melalui perjanjian jual beli (SPA) secara bersyarat pada 15 Jun 2026, dengan nilai pertimbangan sebanyak RM30 juta secara tunai," katanya.
Sebelum EGM tersebut, penasihat bebas Mercury Securities berpandangan cadangan pembelian hartanah berkenaan adalah adil dan munasabah serta tidak memudaratkan pemegang saham bukan berkepentingan.
Firma itu turut mengesahkan tiada mana-mana pemegang saham dan pengarah yang berkepentingan dengan rancangan pengambilalihan tersebut telah mengambil bahagian dalam proses pengundian berkenaan.
Justeru, pemerolehan itu kini boleh diteruskan tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat lain termasuk kelulusan pihak berkuasa negeri, pemberi pinjaman sedia ada MST dan keperluan kawal selia.
Mycron Steel sebelum ini menjangkakan transaksi dapat diselesaikan pada suku keempat 2026, bergantung kepada semua kelulusan dan syarat berkaitan dipenuhi tanpa ada isu tidak dijangka. - DagangNews.com






