
KUALA LUMPUR – Pemergian pelakon dan pelawak legenda tanah air, Jalil Hamid, nyata mengundang sebak dalam kalangan rakyat Malaysia apabila pelbagai kisah dan kenangan bersama Allahyarham mula dikongsikan di media sosial.
Antara yang paling menyentuh hati ialah perkongsian oleh pengguna Threads, @pakharith, yang menyifatkan kehilangan itu sebagai kehilangan seorang ayah.
Menurutnya, bagi masyarakat umum, Allahyarham adalah seorang seniman lagenda. Namun buat dirinya dan adik-beradik, arwah merupakan tempat bergantung harap saat mereka diuji kehidupan.
“Aku hilang ayah… Dialah penyokong senyap dalam apa jua usaha kami. Seorang figura yang aku pandang tinggi, yang mengajar aku menjadi lelaki dan pemimpin,” tulisnya.
Tambahnya lagi, Allahyarham sentiasa hadir ketika diperlukan, terutama saat dirinya jatuh, menjadi sumber kekuatan untuk bangkit semula. Kini, katanya, yang tinggal hanyalah nasihat dan kenangan, apabila nikmat memiliki seorang guru dalam hidup telah terputus.
“AYAH berehatlah di dunia abadi… Harith akan kirimkan doa dan amal. Semoga Allah mengampuni dosa Ayah dan tempatkan Ayah bersama orang beriman,” luahnya penuh emosi.
Kenangan Anak & Nostalgia Lagu Raya Hidup Kembali
Sementara itu, impian anak Allahyarham, Afiqah Jalil, akhirnya tercapai apabila berjaya merakamkan semula lagu raya popular arwah, “Dendang Hari Raya”, sebagai kenangan buat keluarga.
Lagu tersebut turut menerima pujian ramai, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia Aidilfitri klasik yang cukup dekat di hati masyarakat.
Dalam masa sama, ada netizen berkongsi momen terakhir Allahyarham ketika sesi promosi lagu tersebut, yang dirasakan seolah-olah memberi petanda pemergiannya sudah hampir.
Kisah Kebaikan Arwah Sentuh Hati Ramai
Tidak kurang juga, kisah peribadi yang dikongsikan oleh @faiqshamsudin turut membuka mata ramai mengenai keperibadian sebenar Allahyarham.
Menurutnya, ketika bekerja sebagai penghantar barang, beliau sering berurusan dengan arwah yang terkenal dengan sifat baik hati dan lemah lembut.
Malah, walaupun menerima barang yang tidak dipesan (scam), Allahyarham tetap mahu membayar demi menjaga kebajikan penghantar.
“Tak apa la adik, acik ambil. Kesian tengok kamu, kalau tak ambil nanti tak ada gaji,” katanya seperti diceritakan semula.
Namun, pada masa tertentu apabila tidak mampu, Allahyarham tetap memohon maaf dengan penuh adab.
Kisah tersebut jelas menggambarkan sifat prihatin dan hati mulia yang dimiliki oleh arwah sepanjang hayatnya.
Pemergian Tenang, Kehilangan Besar Buat Negara
Di ruangan komen pula, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sedih dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Terdahulu, dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila Jalil Hamid dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari.
Berita duka itu disahkan sendiri oleh anaknya menerusi Instagram.
Menurut keluarga, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas tertidur usai menunaikan solat Subuh. Arwah ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya sebelum disahkan meninggal dunia di kediaman mereka.
Pemergian ini bukan sahaja kehilangan besar buat industri seni, malah meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang pernah mengenali dan merasai kebaikan seorang insan bernama Jalil Hamid. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Pemergian Seniman Lagenda Jalil Hamid Undang Sebak, Kisah Peribadi Sentuh Hati Ramai appeared first on The Malaysian Update.






