Sheikh Omar kecam hantaran Threads didakwa persenda majlis tahlil

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 3:45 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Sheikh Omar Ali mengeluarkan kenyataan mengecam hantaran Threads yang didakwa mempersenda majlis bacaan tahlil serta menggesa permohonan maaf terbuka.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Omar Ali mengecam sebuah hantaran di platform Threads yang didakwa mempersendakan majlis bacaan tahlil, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej Islam.

Beliau berkata, hantaran yang dimuat naik oleh akaun wan.zuhir itu memaparkan dakwaan mengenai kononnya ‘majlis bacaan tahlil atas pemakaman Loke di Chennah’, yang menurutnya tidak wajar dijadikan bahan sindiran atau permainan politik.

Sheikh Omar berkata, berdasarkan semakannya, akaun berkenaan dipercayai milik Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali yang dikaitkan dengan jawatan sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, bekas Presiden Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Mas serta Ahli Majlis Perkaderan UMNO Malaysia.

Menurut beliau, kandungan hantaran tersebut bukan sahaja mencemarkan imej Islam sebagai agama yang mengajar adab, ihsan dan penghormatan terhadap maruah manusia, malah berpotensi mengeruhkan keharmonian masyarakat majmuk.

Katanya, tindakan itu juga boleh memalukan umat Islam dan orang Melayu yang selama ini menjunjung nilai kesopanan serta akhlak dalam kehidupan bermasyarakat.

Baca juga:

Beliau menegaskan majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak sepatutnya diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik demi meraih perhatian dan keuntungan politik.

“Mempermainkan simbol dan amalan agama adalah perbuatan yang keji, tidak beretika serta bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Ia ibarat meletakkan kesucian Islam di bawah tapak kaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Sheikh Omar menggesa Wan Muhammad Zuhir segera menurunkan hantaran berkenaan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, sambil menegaskan perbezaan politik tidak pernah menghalalkan penghinaan terhadap agama atau penyalahgunaan amalan suci untuk menyerang lawan politik.

“Malaysia memerlukan politik yang lebih matang, beradab serta menghormati kesucian agama dan batas kemanusiaan,” katanya.

The post Sheikh Omar kecam hantaran Threads didakwa persenda majlis tahlil appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved