johardy15/09/2026 - 18:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept - Pestech International Berhad akan mencabar petisyen gulung tikar yang dikemukakan terhadap syarikat itu oleh Shandong Power Equipment Company Limited (SPECO), sambil mempertikaikan tuntutan yang menjadi asas kepada tindakan berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pestech menegaskan setakat tarikh pengumuman itu, syarikat berpendirian petisyen berkenaan belum diserahkan kepadanya secara sah dan sewajarnya.
Pestech berkata, ia mengetahui mengenai perkara tersebut selepas Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) menerusi e-mel bertarikh 8 Sept mengemukakan salinan notis iklan yang diterbitkan oleh SPECO dalam The Star dan Sinar Harian berkaitan petisyen berkenaan.
Syarikat itu berkata, setakat ini ia tidak menerima atau mengakui kesahan atau keberkesanan sebarang penyampaian petisyen tersebut.
Menurut Pestech, syarikat berhak mencabar petisyen berkenaan, termasuk kesahan penyampaiannya serta tuntutan yang dibuat SPECO.
Pestech pertikai jaminan korporat
Berdasarkan maklumat yang tersedia kepada Pestech ketika ini, syarikat berkata petisyen tersebut dipercayai berkaitan sejumlah wang yang didakwa perlu dibayar di bawah suatu jaminan korporat tanpa tarikh.
Pestech bagaimanapun berkata, kesahan dan kebolehkuatkuasaan jaminan korporat berkenaan dipertikaikan oleh syarikat menerusi saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini diumumkan pada 24 Ogos.
Menurut Pestech, syarikat juga telah memperoleh injunksi dalam saman sivil tersebut terhadap SPECO yang antara lain menghalang SPECO daripada menguatkuasakan haknya di bawah jaminan korporat yang dipertikaikan itu.
Pestech berkata, injunksi tersebut sebelum ini diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 7 Sept.
Syarikat itu sekali lagi menegaskan bahawa ia mempertikaikan tuntutan SPECO, termasuk dakwaan keberhutangan serta kesahan dan kebolehkuatkuasaan jaminan korporat tersebut. — DagangNews.com






