
Pemilik restoran nasi kandar tertua di Malaysia, Restoran Hameediyah, Abdul Sukkor Syed Ibrahim mencabar masterchef Indonesia yang mendakwa nasi kandar Malaysia punyai rasa 'berpasir' untuk datang bertandang ke Malaysia.
Kata Abdul Sukkor selaku Pengarah Eksekutif Restoran Hameediyah, tujuannya hanya mahu menguji dan memastikan rasa sebenar nasi kandar Malaysia yang didakwa 'berpasir' seperti yang tular baru-baru ini.
"Bagi saya tujuannya mungkin nak cari perhatian. Jadi, saya cabar dia datang sini di Restoran Hameediyah, pekena depan saya beritahu berpasir atau tidak?
"Nasi kandar salah satu menu ikonik negara ini, ia menyatukan rakyat Malaysia. Sama seperti lauk-pauknya yang dicampur bersama, perasaan muhibbah itu sama juga dengan ada segala rasa, masam manis pedas," katanya menerusi sesi wawancara dalam rancangan terbaharu Astro dan Nu Ideaktiv, Borak SeeNI.
Untuk rekod, Restoran Hameediyan telah mula beroperasi sejak tahun 1907 di Pulau Pinang dan masih mengekalkan rasa autentik biarpun peniagaan itu telah diwarisi selama tujuh generasi.
"Arwah Moyang lahir di India, berhijrah pada 1870 menaiki kapal laut dan singgah di Pelabuhan Penang. Beliau merupakan seorang saudagar rempah dan mencetuskan ilhaim untuk berniaga nasi kandar.
"Kalau dahulunya, cara mereka jual nasi kandar unik, mereka menggunakan dua bakul dan pikul kayu kandar, ada nasi putih yang dikukus dan gulai ikan, di atas periuk ada telur rebus, sambal dan bendi," ceritanya.

![“Takda Rasa Pasir Pun” – Influencer Indonesia Akui Nasi Kandar Malaysia Sedap [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)

