Kematian anjing dikenali dengan nama Rocky masih menjadi persoalan selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial. Pemiliknya, Rohini Devi kini hanya mahu punca sebenar kejadian dikenal pasti melalui siasatan rasmi.
Rohini berkata, dia menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Polis Diraja Malaysia.
Buat masa ini, dia memilih untuk tidak membuat sebarang ulasan di luar saluran siasatan berkenaan.
Individu dakwa pemilik Rocky tunggu laporan rasmi

Rohini berharap proses siasatan dijalankan secara telus supaya keadilan dapat diberikan kepada haiwan kesayangannya. Perkara itu disuarakan ketika sidang akhbar Keadilan untuk Rocky di Rogue@Bukit Gasing, Petaling Jaya.
Saya tidak mahu pergi ke sana sini. Saya tunggu laporan DVS. Bila laporan itu keluar, saya harap keadilan dapat diberikan kepada Rocky.- Katanya.

Menurut Rohini, dia pulang ke rumah selepas dimaklumkan orang ramai bahawa Rocky telah ditangkap ketika operasi menangkap anjing liar. Sebaik tiba, dia mendakwa melihat anjing itu sedang dijerut.
Dia kemudian beberapa kali memaklumkan bahawa Rocky mempunyai pemilik dan sanggup menyerahkan sendiri haiwan itu kepada pihak berkuasa. Rohini turut mengakui Rocky tidak mempunyai lesen, namun tetap merayu supaya jerutan berkenaan dilepaskan.
Dakwa cuba lepaskan Rocky dengan gunting dan pisau

Rohini mendakwa rayuannya tidak diendahkan sebelum dia cuba memotong jerutan tersebut. Anaknya diminta mengambil gunting sebelum dia turut mencuba menggunakan pisau, namun gagal kerana tali berkenaan terlalu keras.
Beberapa minit kemudian, pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang tiba di lokasi. Ketika jerutan dibuka, Rocky didakwa sudah tidak bernyawa.
Aktivis hak haiwan dan peguam, Rajesh Nagarajan pula mendakwa rakaman video tular menunjukkan operasi itu bercanggah dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan. Beliau berkata, rakaman tersebut memperlihatkan Rocky diheret dan dipukul.
Rajesh turut mendakwa SOP menetapkan gelung yang digunakan perlu diperbuat daripada tali dan bukannya besi. Menurutnya, perkara yang dipaparkan dalam rakaman itu menunjukkan prosedur berkenaan tidak dipatuhi.
The post Pemilik Rocky Pertahankan Tindakan, Mahu Siasatan Telus appeared first on Oh! Media.





