
PETALING JAYA – Seorang pemilik syarikat perundingan, pengurusan dan perniagaan direman tujuh hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000.
Suspek wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai menerima wang berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan geran dan pinjaman di bawah skim pembiayaan kewangan usahawan Bumiputera bagi dua syarikat berkaitan persenjataan dan pertahanan.
Perintah reman terhadap suspek bermula 4 September hingga 10 September 2026 dikeluarkan Majistret Aliaa Anwar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek ditahan kira-kira pukul 6.45 petang, 3 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada Mac 2025.
“Suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat berkaitan persenjataan dan pertahanan,” tulis kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.-KOSMO! ONLINE.
The post Pemilik syarikat direman tujuh hari, disyaki terima rasuah RM30,000 appeared first on Kosmo Digital.






