
KUALA LUMPUR - Seorang pemimpin kanan sebuah parti politik ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Memetik laporan Astro Awani, sumber berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang di sebuah kediaman di daerah berkenaan.
“Pasukan penguat kuasa JAIS yang terdiri daripada lima anggota tiba di lokasi sebelum memasuki kediaman itu.
“Ketika serbuan dilakukan, pemimpin berkenaan dan wanita terbabit berada di dalam rumah,” katanya.
Kedua-dua individu kemudian dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam bagi tujuan dokumentasi.
Bagaimanapun, identiti pemimpin berkenaan, parti yang diwakilinya serta jawatan khusus yang disandang dalam kepimpinan parti masih belum didedahkan.
Turut belum dipastikan sama ada beliau memegang jawatan di peringkat pusat atau negeri, mahupun merupakan wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya.
Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan penahanan seorang individu yang juga tokoh masyarakat atas kesalahan khalwat di daerah Petaling kira-kira jam 6 petang semalam.
Beliau berkata, dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Getaran, 16 Oktober 2026






