Peminat F1 berbelanja lebih tinggi, limpahan manfaat kepada industri pelancongan Malaysia - MATTA

LocalTravel
3 Aug 2026 • 11:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peminat F1 berbelanja lebih tinggi, limpahan manfaat kepada industri pelancongan Malaysia - MATTA Image from: Peminat F1 berbelanja lebih tinggi, limpahan manfaat kepada industri pelancongan Malaysia - MATTA liza03/08/2026 - 11:33 Gambar Sepang International Circuit

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Penganjuran semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia menerusi F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan ketibaan pelancong asing sepanjang acara itu berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober depan.

 

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong Chun Teik berkata, acara sukan permotoran paling berprestij di dunia itu dijangka menarik puluhan ribu pengunjung antarabangsa ke Malaysia.

 

"Walaupun jumlah sebenar bergantung kepada faktor seperti pemasaran global, jualan tiket, kesalinghubungan penerbangan dan pakej pelancongan, kami percaya acara ini berpotensi membawa puluhan ribu pelawat antarabangsa tambahan ke Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata, Formula Satu mempunyai pangkalan peminat yang sangat besar di seluruh dunia dengan anggaran lebih 800 juta peminat.

 

"Berdasarkan pengalaman penganjuran acara sukan permotoran antarabangsa sebelum ini, perlumbaan F1 yang dirancang dengan baik mampu menjana ketibaan pelawat yang ketara, terutama apabila digabungkan dengan kempen pelancongan yang menggalakkan peminat melanjutkan tempoh penginapan mereka selepas perlumbaan tamat," katanya.

 

F1 dijangka tarik puluhan ribu pelancong antarabangsa

Menurut beliau, perlumbaan itu dijangka menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelancong pada tahun ini sekali gus melengkapkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong asing dan penerimaan pelancongan berjumlah RM329 bilion, disokong lebih RM700 juta peruntukan kerajaan bagi tujuan pemasaran, infrastruktur dan promosi.

 

Wong berkata, Bahrain GP memberi peluang unik kepada Malaysia untuk menarik segmen baharu pelancong antarabangsa bernilai tinggi.

 

Katanya, berbeza dengan pelancong percutian biasa yang datang untuk bersiar-siar dan berehat, pelancong sukan permotoran lazimnya sanggup berbelanja lebih bagi penginapan premium, pakej hospitaliti, makanan dan minuman, barangan cenderamata serta pengalaman eksklusif.

 

Limpahan ekonomi kepada hotel, penerbangan dan sektor pelancongan

Beliau berkata, ramai pengunjung F1 bukan hanya datang untuk menyaksikan perlumbaan semata-mata, malah turut berminat meneroka destinasi lain di Malaysia sebelum atau selepas acara berlangsung.

 

"Malaysia boleh memanfaatkan peluang ini dengan mempromosikan itinerari lanjutan yang merangkumi destinasi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Sabah dan Sarawak.

 

"Ketibaan pasukan perlumbaan, penaja, media antarabangsa dan tetamu korporat akan mewujudkan permintaan dalam pelbagai sektor termasuk hotel, syarikat penerbangan, restoran, agensi pelancongan, penyedia pengangkutan dan tarikan pelancongan tempatan," katanya.

 

Beliau berkata, peningkatan ketara pelawat bernilai tinggi mampu menjana manfaat ekonomi yang besar bukan sahaja melalui perbelanjaan langsung, malah menerusi rantaian bekalan yang menyokong industri pelancongan.

 

F1 kukuhkan imej Malaysia di pentas antarabangsa

Wong berkata, penganjuran semula F1 di Malaysia juga akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi yang berupaya menganjurkan acara antarabangsa bertaraf dunia.

 

Katanya, Malaysia mempunyai rekod cemerlang kerana pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Formula Satu Malaysia selama hampir dua dekad selain pelbagai acara sukan dan perniagaan bertaraf antarabangsa.

 

"F1 yang berjaya dianjurkan akan menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan keyakinan penganjur acara global, pelabur dan komuniti perniagaan.

 

"Ia juga akan menyokong pertumbuhan pelancongan sukan dan acara perniagaan yang merupakan segmen penting kerana menarik pelawat bernilai tinggi serta mewujudkan peluang di luar pelancongan konvensional.

 

"Malaysia perlu ditonjolkan sebagai destinasi bukan sahaja untuk percutian, malah bagi acara sukan antarabangsa, hiburan, pameran dan aktiviti perniagaan," katanya.

 

Beliau turut menegaskan Malaysia perlu menggalakkan pelawat melanjutkan tempoh penginapan menerusi program pelancongan sebelum dan selepas perlumbaan, selain memanfaatkan acara itu sebagai platform bagi pelancongan korporat, perjalanan insentif dan peluang jaringan perniagaan melibatkan penaja, pelabur serta rakan industri.

 

"Malaysia sudah mempunyai infrastruktur pelancongan yang kukuh, kesalinghubungan yang baik dan pelbagai tarikan. Dengan kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri, Bahrain GP mampu menjadi penyumbang penting ke arah pencapaian sasaran TMM2026," katanya.

 

Ahad lalu, Formula One dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Bahrain GP di SIC.

 

Perlumbaan itu menandakan kembalinya Formula Satu ke Malaysia buat kali pertama sejak Grand Prix Formula Satu Malaysia dihentikan selepas musim 2017. – BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved