Program impak tinggi untuk tarik pelancong

LocalTravel
3 Aug 2026 • 1:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Program impak tinggi untuk tarik pelancong

TAWAU: Kerajaan Negeri bertekad untuk terus mempergiatkan program dan acara berimpak tinggi berkonsepkan budaya dan alam semula jadi bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa seiring Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan Tahun Melawat Sabah (TMS) 2027.

HAJIJI ketika berucap pada majlis itu.Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) bukan hanya satu platform yang boleh menjayakan sasaran terbabit tetapi turut menjadi antara model festival budaya yang berjaya di Sabah.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuklah penganjuran festival budaya dan alam semula jadi berskala besar, promosi pelancongan berasaskan komuniti dan pengukuhan kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada malam kemuncak FKAT 2026 kali Ke-11 bertemakan ‘Warna Budaya’ di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di sini pada Sabtu.

Edisi kali ini turut menampilkan penyertaan delegasi daripada Indonesia, Kemboja, Kazakhstan dan Uzbekistan selain 30 wakil etnik tempatan dengan anggaran 80,000 pengunjung semenjak hari pertama festival budaya itu diadakan.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan membantu pertumbuhan etnik dalam usaha menjaga hal ehwal adat istiadat, seni dan budaya setiap kaum di negeri ini, dan menambah, budaya bukan sekadar khazanah sejarah tetapi aset yang perlu dipertahankan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Saya mahu penganjuran festival kebudayaan seperti FKAT diteruskan dan dipertahankan kerana ini adalah satu platform besar untuk membantu dan mengetengahkan khazanah budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kehadiran besar pengunjung yang berbilang kaum juga memberikan semangat dan dorongan kepada Kerajaan Negeri bagi mengangkat martabat kebudayaan rakyat di negeri ini termasuk menerusi penganjuran festival yang memberi inspirasi kepada semua pihak untuk mencintai dan memelihara khazanah budaya.

Menurutnya kejayaan memasukkan FKAT ke dalam kalendar pelancongan juga disifatkan sebagai pencapaian membanggakan dan menjadi bukti bahawa kerjasama padu dan konsistensi penting untuk menterjemahkan sebuah penganjuran festival budaya dan seni di peringkat antarabangsa yang berprestij.  “Kejayaan FKAT juga memperkukuhkan peranan Daerah Tawau sebagai salah satu destinasi pelancongan budaya yang dinamik, makmur serta sentiasa mendapat tempat di hati pelawat dari dalam dan luar Sabah.

“Kita bersyukur kerana pada malam ini kita dapat berkumpul dalam suasana aman dan harmoni bagi menyaksikan festival yang menyatukan rakyat berbilang bangsa dan budaya menerusi medium muzik, budaya dan penceritaan yang menunjukkan keragaman budaya di Tawau.

“Sabah sendiri kaya dengan pelbagai etnik dan suku kaum yang sudah pastinya mempunyai kebudayaan masing-masing. Keunikan budaya yang kita miliki inilah kekuatan kita dan platform festival ini bukan saja memperlihatkan citra masyarakat kita tetapi juga menjadi simbol perpaduan kukuh rakyat berbilang etnik di negeri ini,” katanya.

Katanya, kehadiran delegasi dari negara luar untuk menyertai festival itu berupaya mengukuhkan lagi peranan Tawau sebagai sebuah bandar sempadan yang kaya dengan jaringan diplomasi budaya dan kerjasama serantau.

Tambahnya FKAT bukan sekadar festival budaya tetapi memperkenalkan Tawau pada mata dunia sebagai sebuah tempat menarik yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan masyarakatnya hidup bersatu berteraskan semangat perpaduan.

“Saya yakin FKAT mampu membawa impak besar terhadap sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di Tawau misalnya menerusi kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa yang bukan saja datang untuk mengenali khazanah budaya kita.

“Tetapi juga dapat memberikan limpahan rezeki kepada semua yang terlibat termasuklah kepada golongan usahawan, pengusaha inap desa, penggiat seni dan perniagaan kecil yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Sempena FKAT 2026 juga, buat julung kalinya anugerah khas disampaikan kepada tiga tokoh yang selama ini bukan sekadar menjadi pencetus program berkenaan tetapi turut menjadi tulang belakang penganjuran festival bertemakan kebudayaan itu sejak ia diperkenalkan.

Ketiga-tiga tokoh itu terdiri daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Apas Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, bekas Presiden MPT Datuk Ismail Mayakob dan bekas Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved