
Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tahun 2027 kepada peminjam yang berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peminjam yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya dikenakan bayaran balik minimum sebanyak RM50.
Menurutnya, langkah itu dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam PTPTN.
Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur.
Selain itu, potongan cukai akan diberikan kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja, meliputi bayaran yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.
Pengumuman itu dibuat ketika pembentangan Belanjawan 2027 oleh Anwar hari ini.






