
KEMAMAN: Perjalanan seorang pekerja restoran makanan segera ke program RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus, dekat sini berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran hentian rehat dan rawat Perasing, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah pada bahagian kepala dan kedua-dua kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang Yamaha Y15zr bersama rakan-rakannya dikatakan sedang dalam perjalanan dari Gombak, Selangor untuk ke Kuala Nerus bagi menghadiri program berkenaan.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa di lorong sebelah kanan hilang kawalan lalu bergesel dengan penghadang jalan sebelah kanan.
“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang konkrit di antara penghadang jalan tersebut dan motosikalnya pula terbabas masuk semula ke laluan utama,” katanya di sini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN
The post Pemuda maut motosikal terbabas ketika ke program RXZ Members appeared first on Utusan Malaysia.






