
Bagi sesetengah orang, anak patung lama mungkin kelihatan menyeramkan atau sekadar barang antik yang tidak lagi bernilai.
Namun bagi jejaka berasal dari Amerika Syarikat, Chris Henrie, 27, anak patung vintaj yang sering dianggap ‘seram’ itu mempunyai nilai sejarah dan keistimewaan tersendiri.
Malah, minat yang bermula ketika berusia 16 tahun itu kini berkembang menjadi sekitar 250 koleksi anak patung.
“Saya mempunyai koleksi anak patung yang besar. Bagi saya, ia terasa seperti satu panggilan hati,” katanya.
Henrie yang berasal dari New Jersey, menyifatkan, dia membesar dengan dikelilingi anak patung.
Sewaktu kecil, dia gemar bermain dan mengumpul anak patung Disney serta American Girl bersama kakaknya.
Namun, minatnya terhadap anak patung vintaj bermula apabila dia berusia 16 tahun.
Ketika mengunjungi sebuah kedai antik di Massachusetts, dia terlihat satu anak patung lama dan terus tertarik kepadanya.
“Saya melihat anak patung lama, menyeramkan tetapi jatuh cinta dengan rupanya serta kegembiraan yang dibawanya.
“Rasanya seperti saya sedang melihat sesuatu yang bersejarah,” katanya.

Sejak itu, koleksi Henrie semakin bertambah. Biasanya, dia mencari anak patung di kedai barangan terpakai dan sesekali membeli secara dalam talian melalui eBay dan Etsy.
“Saya biasa membeli anak patung secara bersemuka supaya saya dapat merasai ‘tarikannya’. Saya suka apabila sepadan dengan koleksi saya,” katanya.
Menariknya, Henrie banyak mengumpul anak patung komposit dari awal 1900-an hingga 1950-an, berharga antara AS$50 (RM204) hingga AS$100 (RM407).
Dia turut menggemari anak patung Raggedy Ann (karakter buku kanak-kanak).
Ada beberapa anak patung badut turut menjadi sebahagian koleksinya.
“Saya sangat sukakan rupanya. Saya mempunyai sebuah kabinet kaca yang dipenuhi dengan anak patung badut,” katanya.
Minat mengembara turut mempengaruhi koleksi lelaki itu.
Henrie yang telah mengunjungi 20 negara berkata, dia cuba mendapatkan anak patung di setiap tempat dilawatinya.
Koleksi Henrie juga merangkumi anak patung dari Ghana, Afrika Selatan, India dan Perancis.
Walaupun tidak berniat menjual semula anak patung tersebut, namun Henrie menganggarkan keseluruhan koleksinya bernilai AS$3,000 (RM12,200) hingga AS$4,000 (RM16,300).
Sebahagian koleksi dipamerkan dalam tiga kabinet besar di pejabatnya, manakala selebihnya berada di rumah dan dalam almari.
Pasangannya, Robbie, 30, yang bekerja dalam pengeluaran makanan turut menyokong minat Henrie.
Bagi Henrie, pandangan orang terhadap koleksinya tidak mengubah kecintaannya terhadap anak patung.
“Kalau anda mempunyai sedikit minat untuk mencari atau mengumpul anak patung yang dianggap pelik atau tradisional oleh orang lain.
“Hal ini kerana ada komuniti hobi ini di luar sana,” katanya.
The post Pemuda minat kumpul anak patung vintaj appeared first on Kosmo Online.






