
PETALING JAYA: Kerajaan Selangor didesak memberi penjelasan dan menyiasat kemasukan babi hidup melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu yang didakwa bercanggah dengan titah Sultan Selangor.
Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya memandang serius laporan kemasukan ribuan ekor babi hidup setiap bulan yang menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan mengenai pematuhan pihak berkuasa dan kerajaan negeri terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sebagaimana kita semua sedia maklum, Sultan Selangor telah menitahkan dengan jelas bahawa hanya daging babi yang diimport dibenarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam di negeri ini.
“Justeru, laporan mengenai kemasukan babi hidup dalam skala besar mencetuskan persoalan serius, adakah aktiviti ini membelakangi titah Sultan Selangor?,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 800 ekor babi hidup dibawa masuk dari Kuching, Sarawak ke Pelabuhan Klang setiap minggu sejak Julai lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Abdul Rahman Kachil dilaporkan berkata, haiwan berkenaan dibawa menggunakan kapal sebelum dihantar ke sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat penyembelihan.
Sultan Sharafuddin pada Februari dan Mei lalu bertitah supaya hanya daging babi dibawa masuk sebagai bekalan bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam di negeri itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Faizzudin berkata, pihaknya turut bimbang terhadap kesan aktiviti berkenaan kepada kebersihan, kesihatan awam dan alam sekitar di kawasan pelabuhan.
Menurutnya, sisa pembersihan dan pencemaran bau ketika proses pemindahan haiwan dari kapal ke lori didakwa mula menjejaskan ketenteraman komuniti nelayan setempat.
Katanya, sisa kumbahan dan pembersihan ketika pemunggahan babi hidup yang tidak dikawal juga berpotensi menjejaskan kualiti air, ekosistem marin serta hasil tangkapan nelayan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan serta memperketat pemantauan bagi memastikan kebajikan penduduk tidak terjejas.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri tidak memandang ringan isu berkenaan atau melindungi mana-mana pihak yang didakwa mengingkari titah Sultan Selangor.
Katanya, kegagalan mengambil tindakan terhadap isu itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri. – UTUSAN
The post Pemuda Pas gesa siasat kemasukan babi hidup didakwa bercanggah titah Sultan Selangor appeared first on Utusan Malaysia.






