Titah Sultan Selangor bukan mencampuri urusan kerajaan

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 1:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Kuil Selangor

KLANG: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pentadbiran negeri telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak termasuk segelintir ahli politik seolah-olah baginda mahu mencampuri urusan kerajaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, setiap teguran dan pandangan yang disuarakan baginda bukan bertujuan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela.

Baginda bertitah, teguran baginda hanya adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan rakyat dan kepentingan negeri sentiasa diberikan keutamaan.

“Apa yang mendukacitakan beta adalah apabila teguran atau titah menurut bahasa istana, disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik seolah-olah beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.

“Beta ingin menegaskan bahawa beta amat arif tentang peruntukan undang-undang dan tahu sejauh mana peranan serta tanggungjawab beta di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang negara ini dan negeri Selangor amalkan.

“Beta juga menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 serta Peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa Beta sebagai Sultan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin kemudian menegaskan, baginda tidak mahu rakyat melihat teguran itu sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara istana dengan kerajaan.

“Sebaliknya, Beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa hadapan negeri Selangor,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pelaburan berbilion ringgit, pembangunan pesat atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

Sebaliknya, titah baginda, kemajuan sebenar hanya dapat dicapai apabila hasil kekayaan negeri turut dinikmati seluruh rakyat, khususnya golongan miskin dan kurang berkemampuan.

“Apa gunanya sesebuah negeri itu memiliki kekayaan yang besar sekiranya rakyatnya masih hidup di dalam kesusahan.

“Rakyat sepatutnya sentiasa mendapat pembelaan dari aspek tahap pendidikan yang baik, rumah yang mampu dimiliki, peluang pekerjaan yang luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat,” titah baginda.

Baginda turut menyeru rakyat Selangor yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya terus memelihara keharmonian serta tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara sehingga menyinggung sensitiviti pihak lain.

Tegas baginda, perbezaan pandangan perlu disertai adab, manakala kebebasan bersuara mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan Selangor kekal aman, makmur dan bersatu padu. – UTUSAN

The post Titah Sultan Selangor bukan mencampuri urusan kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved