Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan – Sultan Selangor

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 3:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan – Sultan Selangor

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila teguran atau titah baginda berkaitan pentadbiran negeri disalah tafsir segelintir pihak dan ahli-ahli politik sebagai cubaan mencampuri urusan kerajaan atau mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.

Baginda bertitah, teguran tersebut bukan bertujuan mencetuskan pertelingkahan dengan kerajaan negeri, sebaliknya bagi memastikan kebajikan rakyat dan masa depan Selangor sentiasa diberikan keutamaan.

“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan.

“Sebaliknya, beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan di Istiadat
Pemasyhuran gelaran dan mengangkat sumpah serta menjunjung duli orang-orang besar istana dan dato’ diraja Selangor dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, pendekatan proaktif itu diambil bagi mencapai matlamat kejayaan demi rakyat, termasuk dengan menegur serta mengambil berat perkara berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda menjelaskan, teguran, pandangan serta kebimbangan disuarakan baginda adalah bagi memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan, baginda amat arif tentang peruntukan undang-undang dan memahami peranan tanggungjawab di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang negara serta negeri Selangor.

Baginda bertitah, amat menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, 1959 serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa baginda sebagai Sultan.

“Selama ini, beta laksanakan pemerintahan berdasarkan amanah dan tanggungjawab yang dibawah kuasa Beta.

“Beta percaya bahawa setiap pihak yang diberi amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti,” titahnya.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara kedudukan agama Islam sebagai agama negeri, serta memastikan agama Islam terus dihormati dan diamalkan oleh umat Islam di negeri Selangor tanpa ada yang mempertikaikannya.

“Pada masa yang sama, beta menyeru seluruh rakyat Selangor supaya terus hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan – Sultan Selangor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved