Pemuda Pas Selangor desak kerajaan negeri siasat kemasukan babi hidup

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemuda Pas Selangor desak kerajaan negeri siasat kemasukan babi hidup
Muhammad Faizzuddin (kiri) mahu kerajaan negeri Selangor memberikan penjelasan mengenai kemasukan babi hidup bagi meredakan keresahan awam.

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan negeri segera menyiasat kemasukan ribuan ekor babi hidup setiap bulan melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu.

Naib Ketua Dewan Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan segera berhubung perkara itu bagi meredakan keresahan awam dan memastikan pematuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, Sultan Selangor sebelum ini menitahkan hanya daging babi yang diimport dibenarkan bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam di Selangor.

"Laporan mengenai kemasukan babi hidup dalam skala besar menimbulkan persoalan serius sama ada aktiviti ini membelakangi titah Sultan Selangor," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan Selangor akan menyemak isu berkaitan kemasukan babi hidup dari negeri lain yang didakwa menggunakan negeri itu sebagai pintu masuk sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faizzuddin berkata, pihaknya turut bimbang terhadap kesan aktiviti itu terhadap kebersihan, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar khususnya di kawasan sekitar pelabuhan.

Beliau menjelaskan, laporan mengenai sisa pembersihan dan pencemaran bau ketika proses pemindahan haiwan itu dari kapal ke lori didakwa menjejaskan ketenteraman komuniti nelayan setempat.

Menurutnya, sebarang pelepasan sisa kumbahan dan bahan buangan ke laut tanpa kawalan ketat berpotensi menjejaskan kualiti air, ekosistem marin serta hasil tangkapan nelayan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan segera serta memperketat pemantauan bagi memastikan kebajikan penduduk dan nelayan tidak terjejas.

"Kerajaan negeri wajib ambil tindakan keras dan Menteri Besar Selangor jangan memandang ringan isu ini," tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved