Pemuda Pas ramal PH bakal kalah PRN Melaka, Selangor

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemuda Pas ramal PH bakal kalah PRN Melaka, Selangor
Muhammad Faizzuddin

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor meramalkan gelombang Penyatuan Ummah berpotensi menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tewas di Melaka dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, naratif penyatuan ummah yang diketengahkan Pas pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kelantan dijangka terus diperkukuhkan menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Menurutnya, kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi strategi itu berpotensi mewujudkan kuasa politik Melayu Islam yang lebih kukuh dan stabil khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kerana kedua-dua parti mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pas mempunyai kekuatan dari segi gerakan Islam dan sokongan pelbagai kelompok masyarakat, manakala UMNO pula mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran serta pembangunan negara.

"Jika Penyatuan Ummah ini berjaya diterjemahkan dalam PRN Melaka dan Selangor, Insya-ALLAH PH akan berputih mata di dua negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Faizzuddin memberitahu, Pas kini membawa agenda perjuangan lebih jauh menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang dirangka sebagai hala tuju jangka panjang parti itu.

Katanya, tahun 2051 dipilih bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan Pas dalam mengharungi pelbagai cabaran demokrasi di negara ini.

"WINS 2051 merangkumi aspek integriti, keadilan sosial, kestabilan, kemakmuran ekonomi, pengagihan kekayaan, penciptaan nilai ekonomi, pendidikan, kesihatan, kebajikan serta keharmonian masyarakat majmuk.

"Pada masa sama, negeri yang ditadbir turut membangunkan pelan jangka panjang dan sederhana bagi menjayakan agenda berkenaan seperti Kelantan Future State (KFS) 2033, The Greater Kedah (TGK) 2050 dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030," ujar beliau.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved