
Kota Kinabalu: Ketua Pemuda PKR Sabah Eldridge Laurence Timis menggesa Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan supaya berhenti menyalahkan Putrajaya atas cabaran yang dihadapi negeri ini, sebaliknya menuntut kepimpinan yang lebih bertanggungjawab dan berpandangan jauh.
Mengulas laporan Malaysiakini bertajuk “Sabah for Sabahans – Kitingan challenges Putrajaya”, Eldridge yang juga Ketua Pemuda PKR Penampang merangkapTimbalan Ketua Pemuda Sabah berkata kenyataan Jeffrey memberikan gambaran yang tidak lengkap mengenai perjuangan Sabah.
“Kami, generasi muda Sabah, tidak melupakan sejarah dan kami tidak akan membiarkan dakwaan yang mengelirukan tidak dijawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Eldridge mengingatkan bahawa perpecahan politik pada masa lalu memperlahankan kemajuan Sabah dan meninggalkan kesan berpanjangan terhadap generasi mudanya.
Katanya kepimpinan tidak seharusnya hanya berkisar pada menyalahkan Kerajaan Persekutuan.
“Semasa beliau berada dalam kerajaan pada era PBS, usaha sebenar untuk mengembalikan hak Sabah amatlah sedikit.
“Jika benar beliau pejuang kepentingan Sabah, rakyat sepatutnya sudah dapat melihat hasil yang bermakna sekarang,” katanya.
Bercakap tentang reformasi persekutuan, Eldridge berkata proses mengembalikan kuasa kepada Sabah dan Sarawak secara rasmi bermula semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 dan diteruskan sehingga kini di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengkritik cadangan Jeffrey bahawa Star mungkin keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya ruang diberikan kepada PH dengan menyifatkannya sebagai kembali kepada gaya politik lama.
“Sabah mesti melangkaui politik ugutan dan saling menyalahkan. Apa yang rakyat, khususnya golongan muda mahukan ialah kepimpinan yang jujur, berani dan progresif,” tambah Eldridge.
