Pemuda Tolak Bayaran RM6,000 Tolong Sertu Masjid Dicemari Air Najis Di Rantau Panjang

7 Oct 2026 • 3:31 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 7

Keikhlasan seorang pengusaha perkhidmatan pembersihan membantu menyentuh hati ramai apabila dia sanggup menolak bayaran bernilai RM6,000 demi menyertu dan membersihkan sebuah masjid di sini yang dicemari cecair kumbahan disyaki najis babi.

Individu berkenaan, Mohd Hanif Mohammad Noor, 36, yang berasal dari Rantau Panjang berkata, dia dimaklumkan mengenai insiden berkenaan selepas dihubungi oleh pihak pengurusan masjid pada pagi semalam untuk membantu proses pembersihan.

Menurut Mohd Hanif, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dia menyedari terdapat bau luar biasa pada permaidani masjid yang menimbulkannya rasa was-was.

“Sebaik tiba di masjid, saya dapati bau najis pada permaidani itu seperti najis babi kerana pernah terbau yang sama.

Cuma tak pasti kebenarannya dan disebabkan was-was, saya maklumkan kepada pihak pengurusan masjid. Kemudian, saya minta izin untuk sertu sebelum bersihkannya bermula semalam dan disambung ke hari ini,” katanya.

Beliau yang berpengalaman selama lapan tahun dalam khidmat pembersihan mendedahkan bahawa proses kali ini memerlukan ketelitian yang tinggi berbanding kes pencerobohan haiwan biasa kerana sifat najis yang cecair.

“Sebelum ini, saya pernah menyertu dan membersihkan kawasan masjid yang diceroboh masuk anjing serta babi.

Tak rumit kerana tahu laluan haiwan berkenaan tapi kali ini najis basah jadi ia merebak hingga banyak tempat perlu diperiksa.

Kena cuci kawasan terbabit kemudian sertu hari ini dan esok akan bersihkan lagi. Jangkaannya siap esok dan boleh digunakan semula sebelum Jumaat,” jelasnya.

Bercakap mengenai kos yang sepatutnya dikenakan, bapa kepada tiga orang anak ini memilih untuk tidak mengenakan sebarang caj dan menganggapnya sebagai ibadah.

“Saya tak tergamak nak ambil bayaran kerana kosnya agak mahal malah boleh mencecah RM6,000 jika ikut keluasan kawasan terbabit.

Jadi saya anggap apa dilakukan itu sebagai amal jariah dengan niat membantu pihak masjid,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa sedih atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan isu berkenaan kepada pihak polis.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved