Pemuda Umno Johor desak Peguam Negara letak jawatan

LocalPolitics
8 Nov 2026 • 12:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Pemuda Umno Johor desak Peguam Negara letak jawatan

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno Johor menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berundur dengan segera dan memikul tanggungjawab atas ketidakcermatan serta kelalaian dalam isu melibatkan pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataannya, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros berkata, laporan polis juga sudah dibuat ke atas Dusuki bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti berhubung isu berkenaan.

Jelas beliau, kenyataan Istana Negara pada Sabtu, membuktikan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab Baginda mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang cacat mahupun cela.

“Pemuda Umno Johor menzahirkan rasa kecewa dan sangat tidak berpuas hati terhadap cara Peguam Negara menguruskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan tersebut.

“Pengendalian perkara ini jelas tidak cermat serta memberi gambaran seolah-olah wujud niat untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan,’’ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noor Azleen berkata, ketidakcermatan itu terbukti apabila Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) terpaksa mengeluarkan kenyataan masing-masing, semalam bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

Pada Sabtu, Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon ampun, dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya berkata, Dusuki juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberikan kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian, dan penjelasan lanjut mengenai interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.

Najib, 73, selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, pada Jumaat.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – 8 November, 2026

The post Pemuda Umno Johor desak Peguam Negara letak jawatan appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved