JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menggesa Peguam Negara berundur secara terhormat susulan dakwaan ketidakcermatan dan kelalaian dalam menguruskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan cara Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengendalikan pelaksanaan keputusan berkenaan yang didakwa memberi gambaran seolah-olah wujud usaha mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan.
"Kenyataan Istana Negara pada 7 November lalu membuktikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab baginda mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Pemuda UMNO Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang teguh dan berpendirian terhadap keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September berhubung pengurangan hukuman ke atas Najib," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, ketidakcermatan dalam pengendalian perkara itu turut menyebabkan Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan masing-masing pada 7 November lalu bagi menjelaskan kedudukan sebenar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatannya.
Katanya, laporan polis juga sudah dibuat terhadap Peguam Negara dan pengunduran itu dilihat lebih wajar bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus serta berintegriti.
Isu pelaksanaan tahanan rumah Najib menjadi perhatian selepas timbul persoalan berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan bertarikh 18 September.
Pada 7 November lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan itu, manakala Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menjelaskan perkara berkenaan.
Perkembangan itu menyusul selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kedudukan undang-undang perintah berkenaan.






