
JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak Peguam Negara supaya berundur secara terhormat bagi mengambil kebertanggungjawaban terhadap kelalaian serta ketidakcermatan dalam menguruskan pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan.
Ketua Pergerakannya, Noor Azleen Ambros berkata, Pemuda UMNO Johor menjunjung kasih atas pendirian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 mengenai pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, kenyataan dikeluarkan Istana Negara pada 7 November 2026 membuktikan bahawa Sultan Ibrahim telah melaksanakan tugas serta tanggungjawab Baginda mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang cacat mahupun cela.
“Pemuda UMNO Johor menzahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap cara Peguam Negara mengendalikan pelaksanaan keputusan tersebut yang dilihat memberi gambaran seolah-olah wujud niat mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan.
“Ketidakcermatan ini terbukti apabila Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri terpaksa mengeluarkan kenyataan masing-masing pada 7 November 2026 untuk menjelaskan kedudukan sebenar,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Noor Azleen, beliau berpandangan adalah lebih wajar untuk Peguam Negara berundur daripada jawatannya bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan berintegriti.
Malam tadi, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam bagi memohon siasatan berhubung dakwaan campur tangan terhadap pelaksanaan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan perintah mahkamah berkaitan tahanan rumah terhadap Najib.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Khairul Azlan Sulong berkata, pihaknya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terhadap Peguam Negara susulan kenyataan yang dikeluarkan.
Katanya, tindakan Peguam Negara itu disifatkan sebagai mencabar titah Yang di-Pertuan Agong kerana mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ketetapan yang telah dipersetujui oleh Lembaga Pengampunan Diraja.
Katanya, kesemua 26 Pemuda UMNO Bahagian akan membuat laporan polis pada hari ini bagi membuat desakan yang sama terhadap isu berkenaan. – UTUSAN
The post Pemuda UMNO Johor desak Peguam Negara letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.






